PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team yang diwakili oleh pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah dengan rasmi memulakan sesi latihan pertamanya pada Isnin.

Perkara ini telah diumum sendiri menerusi laman rasmi Instagram JDT yang memuat naik beberapa keping foto sekali gus mempamerkan wajah jentera yang ditunggang, Ducati Panigale V4R.

Ducati yang bakal ditunggang oleh pelumba nombor satu negara, Hafizh Syahrin.

Warna yang agak gelap serta mempunyai ‘hint‘ warna biru dan merah telah melambangkan pasukan JDT sendiri dan Hafizh yang membintangi pasukan tersebut dilihat seakan teruja dengan ketampanan motosikal yang bakal ditunggangi itu. Untuk maklumat, JDT Racing Team bakal memulakan aksi perlumbaan pertama di Asia Road Racing Championship (ARRC) pada musim 2024 ini dengan hasrat untuk bersaing dalam kejuaraan Superbike World Championship kelak.

Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) telah bersua muka dengan Hafizh Syahrin pada November 2023 demi melunaskan impian untuk menceburi dunia perlumbaan motosikal.

TMJ dan Hafizh Syahrin ketika sesi perbincangan mereka pada November lalu.

Dengan itu, jelas bahawa perbincangan antara kedua-dua karakter penting dalam penubuhan JDT Racing Team telah menandakan permulaan projek baharu ini.

Buktinya, hari ini, JDT telah membuka mata masyarakat bahawa angan-angan mereka itu bukan sekadar kata-kata kosong dan tidak mustahil untuk kita melihat satu lagi pasukan selain bola sepak JDT, cemerlang di temasya antarabangsa.