JDT Racing Team kini sedia menyahut cabaran Asia Road Racing Championship 2024 dalam kategori ASB1000 selepas pasukan itu dan livery secara rasmi dilancarkan di Ibu Pejabat JDT, Iskandar Puteri pada Jumaat.

Mempertaruhkan bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, pasukan itu bakal menggegar kejuaraan enam pusingan itu dengan menggunakan jentera Ducati Panigale V4R dengan enjin berkapasiti 998cc.

Tambah menarik, Hafizh akan diselia oleh dua pakar dari pasukan Ducati Racing Team iaitu ketua krew, Loris Caroli dan mekanik, Edoardo Ardemagni yang berpengalaman luas dalam sukan permotoran dua roda.

Jentera dan livery JDT Racing Team

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata JDT secara keseluruhan teruja dengan penglibatan dalam sukan permotoran dan berharap pasukan JDT Racing Team dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam tahun pertama di ARRC.

“Penglibatan JDT dalam sukan permotoran dua roda ini adalah bukti jenama JDT yang kukuh dan semakin meluas selepas terlibat dalam sukan bola sepak, hoki ais, ragbi, futsal dan tinju.

“Usaha terbaharu ini disasarkan untuk mengembangkan lagi jenama JDT kepada khalayak global dan membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa,” katanya.

Hafizh Syahrin selesa dengan jentera Ducati V4R

Sementara itu Hafizh Syahrin sendiri tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira kerana dipilih sebagai pelumba untuk pasukan ini dan mahu membuktikan keupayaannya beraksi di ARRC 2024 sambil dibantu mekanik dari Itali.

“Semestinya saya gembira kerana menjadi sebahagian daripada projek ini dan saya menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor atas kepercayaan yang diberikan kepada saya.

“Dengan bantuan ketua krew dan mekanik yang didatangkan dari Ducati, sudah tentu saya mahu membuktikan keupayaan dengan memberikan kejayaan meskipun ini adalah tahun pertama pasukan ini bersaing di ARRC.”

JDT Racing Team akan memulakan saingan ARRC 2024 di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac sebelum mengakhiri sirkit enam perlumbaan di litar yang sama pada 6 hingga 8 Disember 2024.