PENGARAH Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards mengesahkan tidak akan menandatangani semula bekas pemain, Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi.
“Saya ingin menyangkal dakwaan yang tular mengenai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin menandatangani semula Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi.
“Kelab telah membuat keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera kerana Malaysia Football League mempunyai peraturan bahawa pemain naturalisasi bukan warisan perlu menjadi warganegara Malaysia untuk lima tahun selepas mendapat kerakyatan sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, melainkan di bawah program naturalisasi kebangsaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia.
“Oleh itu, JDT mengambil keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera memandangkan beliau akan berusia 38 tahun selepas lima tahun tersebut,” jelas Alistair menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab.
Kenyataan ini sekaligus menolak desas-desus yang mengatakan JDT akan mengambil semula Cabrera sebagai pemain naturalisasi yang hangat diperkatakan oleh para peminat bola sepak tempatan.
Sebagai rekod, JDT juga mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa mereka akan menandatangani empat lagi pemain baharu dengan dua darinya adalah pemain tempatan dan dua pemain antarabangsa.