PENGENDALI Johor Darul Ta’zim FC, Hector Bidoglio tidak memandang rendah dengan keupayaan lawan mereka pada aksi suku akhir pertama Piala FA 2024/25 yang bakal berlangsung pada Sabtu.
Berdepan Malaysian University Football Team yang merupakan pasukan dalam saingan Liga A1 Semi Pro, Bidoglio tetap mengingatkan pemain-pemainnya supaya fokus dalam memburu kemenangan.
“Ini adalah bola sepak dan kita tetap kena bermain profesional tidak kiralah siapa pun lawan kita.
“Jadi, fokus perlu ada sebab untuk JDT, setiap trofi adalah penting dan kita kena tunjuk potensi kita dalam setiap perlawanan yang ada,” ujar Bidoglio.
JDT sudah memenangi tiga kejuaraan Piala FA iaitu pada 2016, 2022 dan 2023, dengan tahun lalu berjaya menewaskan pasukan Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan final.
Malaysian University akan bertemu Johor Darul Ta’zim FC untuk aksi suku akhir pertama pada Sabtu ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Selain pertemuan melibatkan JDT dan Malaysian University, tiga lagi perlawanan suku akhir pertama menyaksikan Selangor akan berhadapan Kuching City, Penang bertemu Kedah dan Terengganu akan menentang Sabah.