JOHOR Darul Ta’zim (JDT) akan memulakan musim Liga Malaysia 2023 sebagai juara bertahan keempat-empat piala yang dipertandingkan dan mereka tidak mahu menunggu lama untuk kembali memenangi trofi.

Harimau Selatan yang baharu pulang daripada kempen pramusim di Dubai mahu mengekalkan intensiti dan sistem permainan yang mereka gunakan ketika pramusim dan bersedia 100 peratus untuk perlawanan pembukaan Liga Super.

Penolong jurulatih JDT, Pablo Ricchetti melaungkan keyakinan menjelang aksi Piala Sumbangsih menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim ketika sesi sidang media pra perlawanan di Iskandar Puteri pada Khamis.

“Kami mempunyai kempen pra musim yang baik di Dubai dan kini akan tumpukan pada Piala Sumbangsih dan memulakan musim dengan kemenangan untuk memastikan pasukan dalam keadaan terbaik untuk memenangi trofi.

“Ketika pramusim kami bermain dengan pasukan yang baik dan kami agak kuat dan mahu kekalkan intensiti di Dubai dengan kesemua pemain bersedia bermain dan kesebelasan utama akan ditentukan sebelum perlawanan.

“Barisan kejurulatihan dapat lihat kualiti yang baik dalam pasukan dan kami mahu kekalkan apa yang diperolehi musim lalu dan teruskan untuk musim ini. Kami juga sudah bersedia 100 peratus untuk perlawanan esok dan juga liga musim ini,” katanya.

Pablo Ricchetti

Ricchetti juga mengakui sukar buat Esteban Solari untuk membuat keputusan dalam pemilihan pemain dan dia serta jurulatih yang lain akan membantu untuk tentukan siapa bermain.

JDT hanya kehilangan khidmat Natxo Insa yang masih dalam proses pemulihan manakala pemain lain berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi musim yang panjang ini.

Harimau Selatan akan memulakan kempen 2023 menentang Terengganu FC untuk mempertahankan Piala Sumbangsih yang dimenangi secara berturut-turut sejak 2018.