KEPENTINGAN fasiliti yang baik sentiasa dititikberatkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana ianya adalah salah satu elemen paling penting dalam bola sepak moden untuk melahirkan pemain yang lebih berkualiti.

Sebelum ini, JDT sudah mempunyai dua pusat latihan yang lengkap dan canggih di Padang Seri Gelam dan Padang Mawar dengan satu lagi pusat latihan bersepadu yang sedang dalam pembinaan untuk digunakan oleh semua pasukan JDT dari skuad senior hingga ke pasukan Akademi JDT.

Terbaharu, Harimau Selatan mengorak langkah lebih jauh apabila mengumumkan pembinaan sebuah stadium mini baharu di Iskandar Puteri bagi menggantikan stadium mini sedia ada di Taman Ungku Tun Aminah.

Perkara ini disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab yang menyatakan sebuah stadium mini yang lengkap bakal dibina di Medini, Iskandar Puteri dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula dalam masa terdekat.

“Sebuah stadium mini di Iskandar Puteri untuk menggantikan Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah sedang dalam perancangan. Reka bentuk stadium mini baharu itu sudah diluluskan dan kerja-kerja pembinaan dijangka akan bermula dalam masa terdekat.

“Stadium Mini Iskandar Puteri yang akan dibina di Medini, Iskandar Puteri ini mengandungi padang bola sepak, tempat duduk berbumbung, pejabat-pejabat, kedai-kedai komersil, bilik persalinan, surau dan kawasan terbuka untuk aktiviti bukan bola sepak.

“Stadium Mini Iskandar Puteri ini akan digunakan untuk perlawanan-perlawanan melibatkan Akademi JDT,” tulis kenyataan itu.

Pembinaan stadium ini adalah bertujuan sebagai gelanggang rasmi Akademi JDT apabila menghadapi perlawanan kompetitif sekaligus membuktikan Akademi JDT turut mendapat perhatian dan layanan yang sama semua pasukan JDT yang lain.

Apabila siap dibina kelak, JDT bakal mempunyai empat stadium yang lengkap dengan padang yang berkualiti iaitu Stadium Sultan Ibrahim, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Stadium Mini Iskandar Puteri.