JOHOR Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka berada pada kelas tersendiri apabila membelasah Sabah FC 5-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu sekali gus semakin menghampiri kejuaraan ke-10 berturut-turut liga.

Hatrik dari Bergson Da Silva serta satu gol masing-masing dari Heberty Fernandes dan Juan Muniz sudah cukup untuk memberikan JDT tiga mata penuh dan juga kemenangan ke-19 musim ini.

Kekalahan ini juga menyaksikan Sang Badak tewas buat kali pertama di laman sendiri dalam Liga Super meskipun beraksi di hadapan lebih 15,000 penyokong yang memenuhi keseluruhan stadium.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee bagaimanapun berjaya melakukan kejutan awal apabila rembatan jarak jauh Jaffri Chew menewaskan Syihan Hazmi untuk gol pendahuluan Sabah dan juga gol pertama yang dilepaskan JDT dari permainan terbuka sepanjang musim liga.

Kegembiraan Sabah tidak kekal lama apabila berselang empat minit, Juan Muniz menyamakan kedudukan menerusi jaringan cantik dari hujung kotak penalti sekaligus menaikkan semula semangat para pemain Harimau Selatan.

Bagaikan harimau yang terluka, JDT terus menekan Sabah dan akhirnya Rawlinson Batuil melakukan kesilapan dengan mengasari Juan Muniz dan pengadil perlawanan tidak teragak-agak untuk memberikan sepakan penalti yang disudahkan oleh Bergson Da Silva.

JDT tidak menunggu lama sebaik babak kedua bermula apabila Heberty Fernandes mudah meledak jaringan pada minit ke-48 sebelum Bergson sekali lagi mengambil kesempatan kelonggaran benteng Sabah untuk gol keempat pada minit ke-62.

Gandingan Bergson dan Heberty nyata menjadi mimpi ngeri pertahanan Sabah apabila hantaran satu dua mereka berjaya membelah benteng untuk gol kelima JDT dan Bergson melengkapkan hatriknya pada minit ke-73.

Selepas selesa mendahului 5-1, Esteban Solari mengeluarkan beberapa pemain utama namun masih berjaya mengekalkan rentak pantas yang menyaksikan Sabah hanya bertahan di dalam kawasan sendiri.

Kedudukan 5-1 kekal hingga tamat perlawanan dan JDT semakin kukuh di takhta liga dengan 57 mata, 14 mata mengatasi Selangor FC di tangga kedua manakala Sabah FC kekal di tangga kelima dengan 36 mata.