DUA jaringan Arif Aiman Hanafi dan Bergson Da Silva semakin mengesahkan kejuaraan Liga Super kesembilan berturut-turut buat Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila sekali lagi mencatatkan kemenangan selesa ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim.

Lima gol tanpa balas membantu JDT membenam cabaran Negeri Sembilan FC dengan Leandro Velasquez menyumbang satu lagi gol untuk tiga mata penuh dan semakin hampir dengan kejuaraan liga.

Tambah menarik ini juga adalah gol pertama Arif Aiman di Liga Super dan yang keenam buatnya musim ini yang dilihat semakin bertambah baik terutama pada bahagian penyudah.

Negeri Sembilan yang turun tanpa kelibat Herold Goulon dan Khuzaimi Piee berjaya mengawal asakan pada awalnya namun JDT yang menggandingkan Arif Aiman dan Akhyar Rashid di bahagian sayap terus menekan hingga berjaya mendapatkan jaringan.

Selepas selesa mendahului seawal minit ke-61, Hector Bidoglio merehatkan beberapa pemain utama dengan melakukan beberapa pertukaran namun ianya tidak menjejaskan momentum permainan JDT yang terus menyerang hingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan ini, JDT selesa ditangga teratas liga dengan 46 mata dan kini menunggu keputusan perlawanan antara Terengganu dan Sabah bagi mengesahkan kejuaraan.