JOHOR DDarul Ta’zim (JDT) seakan menunjukkan bagaimana cara bermain bola sepak sebenar apabila membelasah Kelantan FC 10-0 untuk menang dengan aggregat 15-1 dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Tiga rekod baharu dapat dilakar Harimau Selatan iaitu kemenangan terbesar kelab musim ini, kemenangan terbesar Liga Malaysia dan jaringan gol ke-100 terpantas dalam sejarah kelab sejak 2013.

Bergson Da Silva meneruskan aksi cemerlang musim ini dengan meledak hatrik tetapi apa yang menarik perhatian adalah dua gol dari penampilan pertama Takahiro Kunimoto yang juga menjadi penjaring gol ke-100 Harimau Selatan.

Kelantan langsung tidak diberikan peluang oleh anak-anak buah Esteban Solari yang mengasak dari minit pertama meskipun mempunyai kelebihan empat gol selepas kemenangan 5-1 di Kota Bharu dua minggu yang lalu.

Bergson memulakan pesta gol pada minit ke-21 sebelum Kunimoto menjaringkan gol debut berselang empat minit dan pemain Jepun itu segera menjadi hits di kalangan penyokong JDT dengan gol kedua peribadi pada minit ke-37 dan Bergson menambah gol keduanya pada minit ke-43.

Selesa dengan kedudukan 4-0 pada babak pertama, JDT tidak berhenti pada babak kedua apabila menambah empat lagi gol dalam tempoh 10 minit bermula pada minit ke-54 masing-masing menerusi Juan Muniz, Daryl Syam, Heberty Fernandes dan Arif Aiman untuk menjadikan kedudukan 8-0.

Seakan tidak puas dengan lapan gol, Bergson melengkapkan hatriknya pada minit ke-73 sebelum JDT dilihat mengendurkan sedikit serangan tetapi barisan pemain muda Kelantan tetap tidak mampu memberikan saingan sama sekali.

Pemain muda, Aysar Hadi menjadikan kedudukan 10-0 pada minit terakhir perlawanan yang menggembirakan lebih 11 ribu penyokong dan JDT layak ke suku akhir menanti pemenang antara Negeri Sembilan dan Kelantan United manakala Kelantan akan ke Challenge Cup.