JOHOR Darul Ta’zim (JDT) kembali menunjukkan penguasaan permainan dalam Liga Super apabila mudah membelasah Kuala Lumpur City FC 5-1 dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Pengendali JDT. Hector Bidoglio melakukan empat pertukaran dalam kesebelasan utama dengan memberi peluang kepada Shio Hong Wan, Francisco Geraldes, Shahrul Saad dan Fernando Forestieri untuk memulakan perlawanan.
Harimau Selatan banyak menguasai permainan dengan serangan dari pelbagai arah namun kubu pertahanan KL City kebal bertahan sehingga perlawanan dihentikan seketika pada minit ke-32 kerana cuaca yang kurang baik.
Selepas permainan bersambung, JDT berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-42 apabila Forestieri menanduk masuk hantaran Juan Muniz yang pada awalnya ditentukan ofsaid sebelum Video Bantuan Pengadil (VAR) membenarkan jaringan itu.
Berselang beberapa minit, JDT berjaya mendapatkan kelebihan dua gol selepas Juan Muniz menjaringkan sepakan percuma yang cantik dan dilihat seakan selesa memasuki bilik persalinan untuk rehat separuh masa pertama.
Namun, VAR memberikan talian hayat buat KL City apabila Oscar Arribas didapati bersalah menarik Haqimi Azim dan pengadil, Nazmi Nasaruddin menghadiahkan penalti yang disempurnakan Paulo Josue untuk merapatkan kedudukan 2-1.
JDT meneruskan penguasaan pada babak kedua dengan KL City dilihat lebih banyak bertahan dengan aksi cemerlang Azri Ghani cemerlang menahan asakan demi asakan yang dihadirkan barisan serangan Harimau Selatan.
Benteng anak-anak buah Miroslav Kuljanac akhirnya bocor sekali lagi menerusi jaringan Forestieri sebelum Juan Muniz menambah derita KL City dengan gol kedua peribadinya dan gol keempat JDT.
Bidoglio melakukan beberapa pertukaran sebagai langkah penggiliran pemain dan Syahmi Safari melengkapkan petang gemilang JDT dengan gol kelima beberapa minit sebelum tamat untuk kemenangan ketiga berturut-turut.
Kemenangan ini meletakkan JDT di tangga teratas dengan sembilan mata selepas tiga perlawanan manakala KL City masih kekal dengan satu mata selepas dua perlawanan di tangga ke-10.