JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk mencipta kemenangan pertama walaupun dilihat sedikit bergelut sebelum mengatasi Negeri Sembilan FC 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
JDT mendapat tonik tambahan apabila diserahkan trofi Piala Sumbangsih sebelum sepak mula walaupun terpaksa melupakan khidmat Arif Aiman Hanapi yang diketepikan kerana kecederaan.
Meksipun tidak diturunkan ketika aksi pramusim di Sepanyol, Bergson Da Silva tidak mempunyai masalah untuk menemui sentuhan jaringan dengan meledak dua gol menarik pada minit ke-12 dan 17 untuk menjadikan jumlah keseluruhan golnya kepada 110.
LIGA SUPER 2024-25
FT: Johor Darul Ta'zim 3-1 Negeri Sembilan FC
⚽️ Bergson 12',17', Jordi Amat 71'
⚽️ Hein Htet Aung 27'More pictures at: https://t.co/AiM3J0EDzz#LigaSuper2024#LuaskanKuasamuJohor #HobinJangHobin pic.twitter.com/tJ5vRa2vQG
— Flash Sukan (@FlashSukan) May 18, 2024
Ketika perlawanan dilihat menyebelahi Harimau Selatan, skuad kendalian Azzmi Aziz mendapat gol semangat selepas kepintaran Takumi Sasaki menyebabkan keadaan kelam kabut dan Hein Htet Aung menjaringkan gol pertama buat Negeri Sembilan.
Tersentak dengan jaringan itu, JDT menggandakan asakan namun buntu selain kekentalan barisan pertahanan Negeri Sembilan mempertahankan kubu dari ditembusi untuk kedudukan 2-1 kekal hingga tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, Harimau Selatan terus menguasai hampir keseluruhan permainan dengan Juan Muniz beberapa kali menguji gawang lawan namun dihampakan palang gol.
Hampir 20,000 penyokong tuan rumah bersorak gembira apabila Jordi Amat melonjak tinggi menanduk masuk gol ketiga selepas menerima hantaran Matt Davies yang berpunca dari sepakan penjuru untuk gol ketiga JDT.
Gol ini hadir selepas Hector Bidoglio melakukan beberapa pertukaran dalam skuadnya bagi menambah sengat di bahagian serangan dan ia terbukti berkesan menerusi gol pada minit ke-71.
Kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan dan JDT kembali menerajui takhta liga dengan enam mata selepas diberikan kemenangan percuma pada perlawanan pertama manakala Negeri Sembilan kini ditangga ke-11.