PENYERANG berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva menegaskan bahawa dia dan rakan pasukannya tidak akan berhenti mengejar kejayaan dalam mana-mana peluang yang terbentang.
Walaupun mengakui pasukannya tidak mudah untuk ditewaskan, namun Bergson turut menyatakan bahawa mereka tidak akan sesekali berehat kerana sikap yang dahagakan kemenangan.
Ia sekali gus dibuktikan setelah JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA kali ketiga berturut-turut selepas ‘membantai’ Selangor FC 6-1 di pentas akhir yang berlangsung pada Sabtu.
“Ini satu kemenangan sangat indah, kerana kami semua pamerkan aksi terbaik malam ini. Dalam semua aksi final kita lakukan persiapan seperti ini, kita membuat persediaan lebih dan tunjukkan karakter untuk menang. Saya sangat bangga dan gembira terhadap kemenangan malam ini.
“Kami perlu ucapkan terima kasih kepada bos (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) untuk terus menekan kami membangun dalam momen-momen penting musim ini.
“Ya, JDT memang sukar ditewaskan tetapi kita tetap tidak boleh berhenti untuk berehat, tidak boleh berpuas hati kerana kita akan selalu laparkan kemenangan,” ujar Bergson ketika ditemui selepas tamat perlawanan final Piala FA.
Dalam aksi getir antara dua pasukan gergasi itu, Juan Muniz telah dinobatkan sebagai wira JDT apabila menghadiahkan hatrik buat pasukannya selain Bergson, Heberty dan Arif Aiman turut menjaringkan satu gol bagi menghadiahkan kemenangan besar 6-1 buat JDT.
Untuk rekod, kemenangan JDT pada malam Sabtu itu menandakan kejuaraan hatrik Harimau Selatan dalam pentas Piala FA selepas turut memenanginya pada edisi 2022 dan 2023.