SELEPAS menggegarkan senario bola sepak tempatan apabila mengumumkan perpisahan dengan Benjamin Mora, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menunggu lama untuk mengumumkan ketua jurulatih baharu mereka.
Menerusi pengumuman rasmi yang disiarkan di laman sosial rasmi kelab, Harimau Selatan sah melantik bekas pemain Venezuela, Hector Pablo Bidoglio sebagai jurulatih baharu yang akan memulakan tugas serta merta.
“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dengan sukacitanya mengumumkan Hector Bidoglio, bekas pemain Venezuela sebagai ketua jurulatih Harimau Selatan berkuat kuasa serta merta.
“Hector memulakan karier kejurulatihan dengan kelab Argentina, Newell’s Old Boys. Beliau sebelum ini pernah menjadi jurulatih dalam divisyen teratas di Argentina, Peru dan Ecuador.
“Pengendali berusia 54 tahun ini pernah menimba ilmu di kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis. Beliau juga telah berguru dengan pengurus tersohor Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009. Selamat Datang dan selamat maju jaya Hector!” tulis kenyataan media itu.
Pengendali kelahiran Rosario, Argentina itu pernah menjadi penolong jurulatih kelab Argentina Newell’s Old Boys pada musim 2013 hingga 2016 dan kemudian membantu kelab dari Argentina, CA Colon sebelum kembali ke Newell’s Old Boys bagi mengendali program remaja kelab berkenaan.
Pada 2018, beliau dilantik selaku jurulatih Newell’s Old Boys dan kemudian berhijrah ke kelab di Liga Peru, Universidad de San Martin dari 2019 hingga 2021 dan tugasan terakhir selaku jurulatih di Amerika Selatan adalah kelab di Ecuador, Sociedad Deportiva Aucas.
Bidoglio juga hadir dengan reputasi yang hebat apabila pernah berguru bersama-sama Marcelo Bielsa apabila dia berada dalam barisan kejurulatihan Chile pada 2019.
Tugasan pertamanya adalah ketika JDT menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Ibrahim, pada Isnin dan pastinya penyokong JDT mahu menyaksikan taktikal yang bakal digunapakai oleh pengendali baharu ini.
Bukan mudah untuk mengambil alih kelab bola sepak sebesar JDT yang sentiasa dahagakan kemenangan tetapi pengurusan kelab pastinya mempunyai sepenuh kepercayaan kepada Bidoglio untuk membawa JDT ke tahap yang seterusnya.