JOHOR Darul Ta’zim (JDT) membuat pengumuman kerjasama dengan Socios.com, pendahulu di dunia untuk platform penglibatan dan ganjaran penyokong sekaligus menjadi kelab Malaysia pertama yang menjalinkan kerjasama ini.
Menerusi kerjasama dengan syarikat global ini, Harimau Selatan kini mampu untuk mencipta peluang penglibatan dan ganjaran baharu untuk penyokong setia mereka menerusi $JDT Fan Tokens di Socios.com.
Fan Tokens adalah aset digital yang membolehkan penyokong mengakses komuniti di mana pertandingan, undian kelab, membuat jangkaan, dan pelbagai lagi ciri-ciri yang boleh memberi akses kepada ganjaran termasuk barangan cenderahati kelab, tiket-tiket VIP dan pengalaman kelab yang unik dan tidak akan dilupakan.
A new era of fan engagement is here!
JDT 🤝 @socios #BeMoreThanAFan#FanEngagement#NewInternationalPartnership#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/adn7fcwp8K— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) September 26, 2022
Kerjasama ini diumumkan oleh pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Socios.com, Alexandre Dreyfus dalam satu majlis rasmi di Ibu Pejabat JDT, Iskandar Puteri.
“Kami teruja dan bangga untuk melancarkan kerjasama istimewa ini bersama Socios.com yang mempunyai matlamat utama untuk membawa penyokong lebih dekat dengan kelab dan membenarkan mereka untuk menentukan masa depan kelab. JDT sentiasa gembira untuk berkerjasama dengan jenama tersohor dunia dan Socios.com adalah salah satu darinya kerana mereka adalah pendahulu dalam ‘blockchain’ untuk industri sukan.
“JDT juga berbangga untuk meletakkan kelab ini sebaris dengan rakan kongsi Socios.com yang lain seperti Barcelona, Juventus, Manchester City, PSG dan Inter Milan. Kerjasama ini juga membuktikan JDT adalah pilihan yang menarik perhatian jenama antarabangsa untuk melakukan kerjasama di rantau ini.
“Di JDT, kami sentiasa komited untuk mencari cara dan inovatif baharu untuk penyokong kami meluaskan lagi perhubungan dengan kami dan akan bekerja secara rapat dengan Socios.com untuk membangunkan peluang yang terkini untuk penyokong kami mengambil bahagian dan berinteraksi dengan kelab kesayangan mereka.” kata TMJ dalam sidang media itu.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Socios.com Alexandre Dreyfus berkata JDT telah mendominasi liga tempatan kebelakangan ini dan membantu meletakkan Malaysia dalam peta bola sepak dan membina lebih ramai penyokong setia.
“Kelab ini mahu mencipta peluang baharu untuk penyokong, cara baharu untuk berhubung dan mendapat ganjaran atas sokongan mereka. Kami mempunyai pelan yang menarik untuk $JDT Fan Tokens dan tidak sabar untuk menyambut penyokong kelab ini ke komuniti penglibatan dan ganjaran terbesar dunia.
“Kerjasama ini adalah yang pertama buat kami di Malaysia yang akan meningkatkan jenama kami di Asia Tenggara dan kami tidak sabar untuk menambah lebih banyak kerjasama dengan kelab terkemuka di rantau ini dan membawa lebih banyak penyokong setia ke Socios.com pada masa akan datang,” katanya.
Lebih dari 170 organisasi terkemuka sukan termasuk banyak kelab ternama dari Eropah dan Amerika Latin telah bekerjasama dengan Socios.com untuk mencipta pengalaman dan peluang baharu untuk penyokong mereka menerusi Fan Tokens.
Antara jenama yang telah bekerjasama dengan Socios.com adalah gergasi bola sepak FC Barcelona, Paris Saint-Germain, Manchester City, Juventus, AC Milan, Inter Milan, Arsenal, Napoli, Valencia, Atlético de Madrid dan banyak lagi pasukan Eropah.
Socios.com juga mempunyai kehadiran di Amerika Selatan termasuk beberapa kelab besar dari Brazil, Mexico, Chile dan Argentina. Tambahan dari bola sepak, gergasi MMA, UFC, pasukan utama Formula 1, organisasi esports dan lebih 70 francais sukan utama Amerika Syarikat seperti NBA, NHL, NFL dan MLS.