KEPUTUSAN pelepasan pemain yang dikeluarkan hari ini oleh Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengejutkan semua penyokong-penyokong bola sepak Harimau Selatan itu.
Dengan berita perpisahan beramai-ramai itu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga telah hadir di ruangan komen laman media rasmi JDT dan memberi bayangan bahawa ramai lagi pemain akan meninggalkan kelab itu.
TMJ selaku pemilik Kelab JDT juga berkata pasukan mereka mungkin menjadi bukan pasukan pilihan pada musim hadapan berikutan faktor proses penjimatan yang sedang dijalankan oleh kelab tersebut.
“Underdog tahun depan.
“Akan ada ramai lagi yang akan keluar dari club. Proses berjimat. Stadium jarang penuh. RM10 sahaja tiket terbuka.
“Apapun kita Doa yang terbaik untuk kelab. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong kami,” ujarnya di ruangan komen media rasmi JDT.
Antara yang meninggalkan kelab termasuk ketua jurulatih Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan.
Disusuli dengan wira-wira utama JDT seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab.
Manakala, pemain yang dipinjamkan keluar ke kelab-kelab lain adalah seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli.