PERSATUAN Badminton Malaysia terus menunjukkan kepercayaan kepada kemampuan bakat kejurulatihan dari Indonesia, apabila mengumumkan Jeffer Rosobin sebagai ketua jurulatih remaja kebangsaan.

Presiden Persatuan badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, rekod cemerlang Jeffer, 47, ketika melatih perseorangan wanita remaja Indonesia menjadi antara faktor penting pemilihannya, mengisi kekosongan di kem remaja.

“Kita mengalu-alukan kedatangan Jeffer Rosobin sebagai ketua jurulatih remaja baharu yang telah memainkan peranan penting membawa pulang pingat emas buat Indonesia, di Kejohanan Remaja Dunia menerusi Grogeria Mariska Tunjung pada 2017.

“Beliau juga pernah menjuarai Kejohanan Badminton Asia (1996) dan berada dalam pasukan lelaki Indonesia yang memenangi emas Sukan SEA 1999,” kata Norza.

Menurutnya, Jeffer ketika ini sedang menyelesaikan isu visa dan dijangka mula menyertai barisan kejurulatihan negara pada November.

Jeffer Rosobin pernah menjuarai perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Asia 1996.

Norza dalam pada itu, menafikan bahawa BAM hanya mahu menggunakan kepakaran jurulatih dari Indonesia di Akademi Badminton Malaysia (ABM), namun pemilihan jurulatih yang dibuat turut membabitkan pandangan Rexy Mainaky, yang kini telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Kejurulatihan.

“Kita menaikkan pangkat Rexy Mainaky kepada Pengarah Kejurulatihan ABM dalam mengemaskini struktur kejurulatihan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky dinaik pangkat sebagai Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Beliau akan bertanggunjawab terhadap skuad senior dan remaja kebangsaan, memastikan falsafah kejurulatihan yang konsisten merentasi semua jabatan, serta memastikan kelancaran peralihan atlet remaja ke peringkat senior,” kata Norza mengenai struktur baharu kejurulatihan ABM.

Justeru, Rexy kini bertanggungjawab kepada pemain perseorangan dan beregu senior, remaja dan juga ke atas prestasi jurulatih di bawahnya.

Terdapat sembilan jurulatih di peringkat senior iaitu Hendrawan, Datuk Tey Seu Bock dan James Wong (perseorangan lelaki), K Yogendran (perseorangan wanita), Tan Bin Shen dan Poh Chai Boon (beregu lelaki), Hoon Thien How (beregu wanita) serta Nova Widianto dan Lutfi Zaim (beregu campuran).

Manakala di peringkat remaja, Jeffer Rosobin (ketua jurulatih remaja), Hazwan Jamaluddin, Goh Giap Chin, Alvin Chew (perseorangan lelaki), Ameer Zainuddin, Misbun Ramdan (perseorangan wanita), Pang Cheh Chang (beregu lelaki) serta Amelia Anscelly, Lee Meng Yean (beregu wanita).