PENGURUS Besar Penang FC, Jeffrey Chew, mengeluarkan satu pesanan penting kepada semua penyokong setia pasukan tersebut.

Jeffrey menekankan betapa pentingnya kehadiran penyokong di stadium untuk memberikan sokongan moral kepada pasukan, tanpa mengira keputusan perlawanan sama ada menang atau kalah.

“Kepada semua penyokong Penang FC, saya ingin menyeru anda semua untuk datang ke stadium beramai-ramai. Sokongan anda amat berharga kepada pasukan, sama ada dalam kemenangan mahupun kekalahan,” kata Jeffrey dalam klip video pendek di Facebook rasmi kelab.

May be an image of 6 people, people playing American football, people playing football and text

Penyokong perlu membeli jersi asli supaya kelab dapat menjana kantung kewangan. (foto : Penang FC)

Selain itu, Jeffrey juga menggesa para penyokong untuk membeli jersi asli dan bukan tiruan. Beliau menegaskan bahawa setiap pembelian jersi asli adalah satu bentuk sumbangan yang besar kepada industri tempatan.

“Sila beli jersi yang bukan tiruan. Dengan berbuat demikian, anda membantu industri tempatan kerana setiap pembelian adalah satu sumbangan kepada keseluruhan ekosistem orang tempatan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Jersi bola sepak tempatan tiruan jejas kewangan kelab

Pesanan ini diharap dapat meningkatkan semangat penyokong Penang FC untuk terus menyokong pasukan mereka dengan cara yang positif dan menyumbang kepada ekonomi tempatan.

FLASH SUKAN pada 20 Mei lepas mendedahkan  masalah penjualan jersi bola sepak tempatan tiruan semakin berleluasa dan menjadi satu ancaman besar kepada kewangan kelab-kelab bola sepak.

Ketika ramai penyokong memilih untuk membeli jersi tidak asli, ia secara langsung menjejaskan pendapatan kelab kerana hasil jualan tidak masuk ke kantung kelab, sebaliknya kepada pengedar tidak sah.

Fenomena ini bukan sahaja menunjukkan kurangnya sokongan terhadap kelab-kelab tempatan dari segi kewangan, malah menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pengurusan dan pemain yang berharap agar hasil jualan jersi asli dapat membantu menampung kos operasi dan pembelian pemain berkualiti.