SANDARAN terakhir badminton negara di Jelajah Dunia Akhir 2022, yang berlangsung di Bangkok, Thailand dalam beregu campuran, turut berakhir dengan khabar menyedihkan apabila Tan kian Meng-Lai Pei Jing ditunjuk jalan pulang.
Berdepan pilihan keempat yang juga gandingan nombor tiga dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China, sememang sudah dijangka berat buat Kian Meng-Pei Jing.
Mereka mampu memberi cabaran namun masih jauh dari kemampuan menandingi gandingan itu yang menang 21-10, 21-15.
Dengan kekalahan Kian Meng-Pei Jing, maka berakhirlah cabaran wakil negara di kejohanan terakhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi tahun 2022.
Meskipun bergelar profesional dan bergerak sendiri, Kian Meng-Pei Jing dan satu lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi sudah membuktikan mereka masih handal dan antara sandaran untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Terdahulu, Yew Sin-Ee Yi tewas di tangan beregu berpengalaman Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-17, 13-21, 19-21.
Cuma yang boleh diharapkan, meskipun bergelar pemain profesional, mereka terus menjalin kerjasama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baik dari latihan dan berkongsi kepakaran dalam BAM demi satu nama yang dibawa di pentas antarabangsa, iaitu Malaysia.