GANDINGAN nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang berbeza dengan pemain China yang lain, dan gandingan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu menandingi speed and power dimiliki pilihan utama itu di Jelajah Dunia Akhir, Disember ini.

Ketika ketiadaan gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty mengurangkan sedikit kesukaran di kejohanan bertaraf Grand Slam itu, Aaron-Wooi Yik perlu menggunakan waktu singkat untuk mengatasi kekurangan mereka bagi menghadapi saingan terbesar badminton yang setaraf dengan kejohanan dunia itu.

Menurut Wooi Yik, sememangnya Rankireddy-Shetty dan beregu nombor satu dunia, Wei Keng-Wang Chang menjadi gandingan paling digeruni ketika ini, namun ketiadaan pasangan India yang berada di ranking ke-10 Jelajah Dunia sedikit melegakan.

Most difficult… di Jelajah Dunia Akhir semuanya susah dan paling susah ketika ini adalah China yang juara di Masters China dan India (Rankireddy-Shetty), tapi India tak masuk, dua pasangan itu paling kuat sekarang.

“Jadi dalam Jelajah Dunia Akhir, paling kuat pemain China, Wei Keng-Wang Chan,” kata Wooi Yik.

Liang Wei Keng-Wang Chang (China) memiliki speed and power yang solid.

Menurutnya, pengalaman di Masters Jepun dan China, iaitu dua kejohanan terakhir sebelum ke Jelajah Dunia Akhir, menjadi pengajaran berguna untuk dia dan Aaron gunakan dalam misi memperbaiki prestasi tiga penyertaan lalu, apabila tersingkir di peringkat kumpulan.

“Pada dua kejohanan terakhir, saya tak fikir kami perlahan atau berada di tahap prestasi yang tidak baik, bagi saya kami tewas kerana strategi selain pemain lawan juga bermain dengan sangat baik.”

Aaron-Wooi Yik meraih gangsa di Sukan Asia Hangzhou lalu.

Menurutnya, Wei Keng-Wang Chang mempunyai corak permainan yang sama jika nak dibandingkan dengan rakan senegaranya, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dan He Ji Ting-Zhou Hao Dong, namun gandingan nombor satu dunia itu memiliki kepantasan dan kekuatan terbaik.

Pada penampilan pertama Aaron-Wooi Yik di Jelajah Dunia Akhir, 2019, mereka menamatkan saingan di kedudukan ketiga peringkat kumpulan manakala pada edisi 2020 dan 2022, mereka menamatkan saingan di kedudukan corot peringkat kumpulan.

Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto diletakkan sebagai pilihan kedua di Jelajah Dunia Akhir 2023.

Jelajah Dunia Akhir 2023 akan berlangsung di Hangzhou pada 13 hingga 17 Disember depan, menyaksikan Aaron-Wooi Yik diletakkan selaku pilihan keempat, disamping gandingan Kroea, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae (ketiga), Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (kedua) dan Wei Keng-Wang Chang (pertama).

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2 juta (RM9.31 juta), menawarkan mata ranking yang tinggi, yang amat penting kepada kelayakan Olimpik Paris 2024.

Juara akan meraih 12,000 mata, naib juara (10,200), layak ke separuh akhir (8,400), ketiga kumpulan (7,500) dan keempat kumpulan (6,600).