ONG Yew Sin-Teo Ee Yi, menghidupkan peluang ke separuh akhir Kejohanan Jelajah Dunia Akhir, di Bangkok, Thailand selepas mencapai kemenangan pertama dalam kumpulan A.

Mereka mencapai kemenangan tipis ketika menundukkan gandingan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho 21-17, 23-21.

“Pada awalnya, kami mengikut rentak gandingan Korea Selatan dan kita menguasai mereka, namun ketika di mata akhir, kami tukar rentak.

“Berbanding semalam (tewas), kami terlalu teruja mahukan kemenangan sehingga ia memberi tekanan kepada diri sendiri,” kata Ee Yi.

Sementara Yew Sin pula mengakui, pada kejohanan ini, mereka tidak pernah mengandaikan akan dapt mendahului mana-mana gandingan kerana saingan terlalu sengit.

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi membuka peluang ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir, selepas capai kemenangan pertama ke atas gandingan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho 21-17, 23-21.

Begitupun, tugas sukar untuk mereka kerana perlawanan terakhir esok akan berdepan gandingan indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang juga pilihan utama kejohanan.

Fajar-Rian sudah lolos ke separuh akhir selepas mencapai kemenangan kedua ke atas Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, 21-18, 21-15.

Kini Yew Sin-Ee Yi dan Hoki-Kobayashi, masing-masing mencapai satu kemenangan dalam aksi kumpulan A.

Dalam pada itu, beregu wanita kesayangan negara, Pearly Tan-M Thinaah tewas buat kali kedua dalam aksi kumpulan B, sekali gus menyukarkan mereka untuk mara lebih jauh di Kejohanan Jelajah Dunia Akhir 2022, meskipun berbaki satu perlawanan.

Pada aksi kedua kumpulan, pasangan negara yang menjuarai Terbuka Perancis bulan lalu, tewas 13-21, 15-21 kepada pilihan keempat kejohanan dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.

Gandingan China itu mencapai kemenangan kedua, sekali gus memimpin kumpulan B.

Vivian Hoo-Lim Chiew Sien tewas kali kedua.

Secara matematiknya, peluang masih ada buat Pearly-Thinaah, namun mereka wajib menang selesa ke atas pilihan kedua dari China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu esok, sambil mengharapkan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti tewas kepada Qing Chen-Yi Fan.

Shu Xian-Zheng Yu menang ke atas Apriyani-Ramadhanti sebentar tadi, sekali gus menyaksikan kedua-dua gandingan terbabit masing-masing mengumpul satu kemenagan selepas dua perlawanan.

Nasib sama menimpa satu lagi beregu wanita negara, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang tunduk kepada pilihan ketiga dari Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 9-21, 12-21.

Kekalahan itu adalah yang kedua buat Vivian-Chiew Sien, menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot kumpulan A.