GOPOH ketika melakukan hantaran menjadi antara kelemahan ketara skuad hoki kebangsaan ketika pada dua pertemuan menentang Belgium dan Belgium A minggu lalu.

Ketua Jurulatih A.Arul Selvaraj berkata, perkara itu disedari ketika perlawanan berlangsung dan sebaik menonton semula rakaman perlawanan, menampakkan betapa ketaranya kekurangan pasukan dari segi kekuatan fizikal.

“Kita tewas dari segi ‘body contact’ ketika berebut mencari ruang untuk bergerak, selain itu ppemain gopoh ketika melakukan hantaran, ‘final third pass’,” kata Arul, ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Menurutnya, skuad kebangsaan terus menjalani latihan seperti biasa menjelang dua lagi pertemuan menentang Perancis pada 4 dan 5 Oktober ini.

Tambah Arul, beliau kini menerapkan latihan bagi menaikkan keyakinan pemain untuk melakukan jaringan.

“Inilah hakikatnya apabila pasukan kita berdepan dengan pasukan yang berada di ranking nombor satu hingga empat dunia.

Seperti ketika tewas 0-7 kepada Belgium, pergarakan bola dari fasa merangka pergerakan, pemain kita bagus termasuk ketika melakukan ‘circle penetration’ selain bermain dengan ‘speed and power’ pada awal permainan, namun kita tewas dalam aspek yang saya nyatakan tadi.

Justeru, Arul berkata pelbagai kaedah dan pendekatan diambil setelah mengambil kira pelbagai maklumat daripada barisan kejurulatihan serta pemain.

Dia tetap menaruh keyakinan terhadap pemainnya yang akan meningkatkan prestasi, sekali gus memenangi baki dua perlawanan menentang Perancis.

Pada 27 September lalu, skuad kebangsaan menang ke atas pasukan Bellgium A 1-0, namun tewas kepada skuad utama Belgium, 0-7.