SKUAD  hoki kebangsaan mencapai kemenangan pertama dalam siri persahabatan jelajah Eropah, selepas mengatasi pasukan Belgium A, petang tadi.

Pada perlawanan berlangsung di Sportcentrum Wilrijkse Plein, Antwerp  jam 12.30 tengahari waktu tempatan (6 petang waktu Malaysia) itu, skuad negara menang 1-0, menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim pada minit ke-35 perlawanan.

Begitupun, latihan penalti shot-out antara kedua-dua pasukan tidak menyebelahi skuad negara yang dibolosi tiga kali dan hanya mampu menjaringkan satu gol.

Ketua jurulatih A.Arul Selvaraj berkata, skuad negara beraksi dengan baik dengan menguasai bola naming pada suku keempat perlawanan, Belgium A mula menunjukkan penguasaan, sekali gus menampakkan pemain negara kehilangan momentum penguasaan.

“Pada suku keempat, walaupun mereka (Belgium A) menguasai bulatan tengah, tapi itu hanya terjadi dalam lapan minit terakir permainan. Setakat ini, sudut penalti kita 100 peratus dimanfaatkan.

“Persediaan kita menghadapi perlawanan seterusnya bermula sekarang, ketika pemain menyejukkan badan, makan minum, rehat serta perjalanan pulan ke hotel yang memakan masa satu jam setengah,” kata Arul.

Menurutnya, tempoh rehat yang singkat itu perlu dimanfaat sebaiknya pemain kerana mereka memerlukan proses pemulihan segera menjelang pertemuan dengan Belgium jam 12.30 tengahari (6 petang waktu Malaysia).

Perlawanan akan berlangsung di venue yang sama.