JELAJAH Fit Malaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melabuhkan tirainya hari ini dengan merekodkan seramai 100,000 peserta menyertai program itu sejak ia dimulakan di Pulau Pinang pada Ogos lepas.

Fit Malaysia merupakan inisiatif KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan hasrat untuk membudaya dan merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup aktif, cergas dan sihat seiring dengan aspirasi di bawah kerangka Malaysia Madani.

Penganjuran program ini adalah berkonsepkan karnival kecergasan dengan pengisian aktiviti seperti Fun Ride 10 KM & 30 KM, Fun Run 5 KM & 10 KM, Fun Walk 3 KM, senamrobik, lompat tali, pameran kecergasan dan kesihatan dan banyak lagi dengan anggaran penyertaan yang berdaftar seramai 10,000 orang.

Image

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim merasmikan Jelajah Fit Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2023 yang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Bertemakan Let’s Get Fit, program ini dianjurkan dengan objektif seperti meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengamalkan gaya hidup aktif, cergas dan sihat.

“Selain itu, program ini bertujuan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dengan dengan amalan gaya hidup aktif dan cergas serta memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional menerusi penganjuran dan penyertaan di dalam acara sukan,” menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat KBS pada Ahad.

Image

 

Jelajah Fit Malaysia Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan siri yang terakhir di peringkat negeri/ Wilayah Persekutuan dengan kemuncaknya di peringkat kebangsaan akan diadakan pada 14 Oktober 2023 disekalikan bersama sambutan Hari Sukan Negara di Pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Asmori Haji Sa’ahari.