JELAJAH Toyota 2023 telah menampilkan saingan yang hebat bagi mengasah lagi bakat pemain golf walaupun dalam peringkat akar umbi untuk ke tahap yang lebih tinggi.
Tidak dinafikan bahawa inisiatif kejohanan yang bergandingan dengan Jelajah Golf Profesional Malaysia (PGM), UMW Toyota Motor dan MST Golf ini bukan sekadar memberikan panggung persaingan yang cemerlang tetapi mengangkat martabat sukan golf profesional di Malaysia melalui serangkaian aktiviti berprestij dan lokasi bertaraf dunia.
Dalam temu bual bersama ‘pro-player’ Jelajah Toyota, Mohd Sukree Othman Rashid meluahkan bahawa dia masih belum berpuas hati terhadap pencapaiannya selepas habis pusingan keenam dalam kejohanan ini.
Sukree masih berharap supaya baki tiga saingan selepas ini dapat memberi keputusan yang positif buat dirinya walau bersaing secara kompetitif.
“Bagi saya, sembilan peringkat saingan ini sangat sikit dan sepatutnya bagi kategori ‘pro-player’ perlu ada sekurang-kurangnya 25 peringkat,” ujarnya kepada media.
Sementara itu, Ainil Johani Abu Bakar yang turut merupakan ‘pro-player’ dalam Jelajah Toyota juga mengakui bahawa Malaysia sudah lebih kedepan dan maju dalam persada sukan golf.
Pemain yang sudah berpengalaman hampir sembilan tahun bermain di Eropah itu tidak menganggap pesaing sebagai satu masalah namun dia melihat mereka sebagai cabaran positif terutama apabila ramai pemain golf wanita dilahirkan.
“Saya suka bermain di Eropah kerana ingin mencari lebih banyak peluang dan pengalaman serta disana juga lebih ramai pesaing yang hebat.
“Saya akan gunakan pengalaman luas disana untuk setiap saingan yang bakal saya hadapi kelak,” katanya.
Jelas bahawa misi kejohanan Jelajah Toyota ini memberi fokus untuk mengejar kesempurnaan dan komitmen mereka dalam menyatukan pemain golf profesional dan amatur di negara ini.