SUASANA sedih dan sayu mengiringi pengebumian jenazah Khalid Ali atau nama sebenar, Abd Mohd Khalid Mohd Ali di Tanah Perkuburan AU4, Lembah Keramat, Kuala Lumpur pada malam Selasa.

Pemergian bekas pemain tengah skuad kebangsaan itu telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 66 tahun.

Turut kelihatan rakan-rakan industri bola sepak seperti Datuk Dollah Salleh, Datuk Zainal Abidin Hassan, Reduan Abdullah, Datuk Yusuf Mahadi, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman dan ramai lagi turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang selesai disemadikan kira-kira jam 10 malam.

Dalam kesempatan itu, FLASH SUKAN telah menemu bual Reduan selaku bekas pemain bola sepak kebangsaan yang menganggap pemergian Khalid sebagai satu hal yang memberi sedikit kesan buat dirinya.

Reduan turut mengimbas kenangan ketika beraksi bersama dahulu yang menyifatkan arwah seorang berdedikasi dan serius di atas padang.

“Ketika bermain dahulu, kita anggap arwah sebagai ‘junior’. Dia merupakan seorang yang berdedikasi, dan membuatkan jurulatih memilih dia untuk menyertai skuad kesebelasan utama.

“Di luar padang dia seorang yang suka bergurau, berbeza dia di luar dan di dalam padang. Sifat fokus dan tidak gemar ‘main-main’ dalam padang membuatkan saya sebagai senior ini teruja dengannya.

“Saya sempat berjumpa dengan arwah semalam. Ketika itu dia masih boleh menyeloroh, masih ceria tetapi kini sudah sampai masanya seruan dari Allah SWT,” ujar Reduan kepada pihak media sebelum sesi pengebumian.

Khalid menghembuskan nafas terakhirnya pada Selasa selepas setahun disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Sebagai rekod, Allahyarham pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1977 hingga 1985, dengan pencapaian terbaiknya membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.

Selain itu, antara kejayaan yang turut dirakam termasuklah menganggotai skuad Malaysia di bawah bimbingan mendiang jurulatih Karl Heinz Weigang yang menjuarai Kumpulan 2 selain meraih enam gol sepanjang pusingan Kelayakan Asia yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Selepas itu, Khalid akhirnya memilih untuk bersara pada tahun 1985 namun tidak pernah meninggalkan dunia bola depak dengan berkongsi idea-idea bernas dan komen mengenai bola sepak tanah air.

Al-Fatihah.