JEPUN menjadi pasukan pertama yang diukir namanya pada trofi baharu Piala Asia AFC B-17 selepas menewaskan Korea Selatan yang bermain dengan 10 pemain 3-0 pada aksi final di Stadium Pathum Thani, Thailand pada Ahad.

Gaku Nawata menjaringkan dua gol manakala Yutaka Michiwaki menambah gol ketiga selepas Korea Selatan terpaksa bermain dengan 10 pemain sejak dari minit ke-44 untuk Jepun menambah koleksi kejuaraan keempat untuk kejohanan peringkat remaja ini.

Jepun bermula garang dan sepatutnya mendahului seawal minit kelima namun Michiwaki yang berada di hadapan gawang gagal menolak masuk bola selepas menerima hantaran baik dari Nawata.

 

Serangan itu mengejutkan Korea Selatan yang segera mengatur gerakan balas tetapi dihampakan ketangkasan penjaga gol Jepun, Wataru Goto yang menyaksikan kedua-dua pasukan hampa untuk menjaringkan gol awal.

Ketika perlawanan sedang beraksi rancak dengan serangan dari kedua-dua pasukan, segalanya berubah pada minit ke-44 apabila Ko Jong-hyun diperintahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua apabila dia melakukan kekasaran keatas Michiwaki betul-betul di luar kotak penalti.

Nawata tidak mensia-siakan peluang itu apabila merembat cantik sepakan percuma menewaskan penjaga gol Korea Selatan untuk Jepun berkelebihan satu gol ketika tamat separuh masa pertama.

 

Bersambung babak kedua, Jepun tidak membuang masa dan terus melakukan serangan demi serangan hingga akhirnya pada minit ke-66, benteng Korea Selatan bocor sekali lagi menerusi jaringan Nawata yang bijak menyempurnakan gerakan cantik rakan-rakan sepasukannya.

Ketika Korea Selatan semakin menekan kubu Jepun untuk mencari gol pembukaan, Jepun menghukum mereka dengan gol ketiga menerusi Michiwaki sekaligus memberikan gelaran juara buat skuad remaja Jepun.

Selain menjulang trofi kejuaraan, Gaku Nawata juga telah dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai kejohanan manakala dua golnya pada final itu menyaksikan dia turut membawa pulang gelaran Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak kejohanan dan Wataru Goto memenangi anugerah Penjaga Gol Terbaik kejohanan.