KEJAYAAN Jepun dalam membutirkan banyak pingat emas di temasya Sukan Olimpik, menjadikan mereka sebagai rujukan terbaik buat Jawatankuasa Road To Gold (RTG) dalam usaha memburu pingat emas pertama di temasya Sukan Olimpik.
Lawatan delegasi jawatankuasa berkenaan diketuai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ke Jepun minggu lalu, turut mendapati negara itu khususnya Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) sudah membuktikan kejayaan yang dicapai dalam aspek pembangunan sukan.
Selain Hannah, delegasi yang melakukan lawatan ke NSSU serta Majlis Sukan Jepun itu turut disertai pengerusi bersama jawatankuasa RTG, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli dan penyelaras RTG, Stuart Ramalingam.
“Kenapa Jepun? Kerana mereka adalah negara Asia yang banyak memenangi pingat emas (di Olimpik). Apabila saya pergi ke universiti mereka (NSSU), galeri dewan kemasyhuran mereka saja menampilkan lebih 40 pemenang pingat emas di peringkat universiti.
“Bayangkan kita di peringkat negara masih memburu emas pertama. Jadi apa yang kami sudah bincang dengan mereka bersama Presiden NSSU ialah mereka memberi komitmen sepenuhnya kepada kita. Apa-apa yang kita perlukan mereka akan bantu.
“Sekarang kami sedang melakukan penelitian. Ketika ini Malaysia banyak bergantung kepada acara berbasikal, badminton dan terjun. Sebenarnya kita ada banyak lagi atlet yang berpotensi jika ada strategi yang betul. Sebab itulah kita menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Sukan Nippon.
“Selepas kita meneliti, perbandingan paling jelas yang dapat dilihat adalah cara mereka mencungkil bakat bermula sangat awal di peringkat sekolah,” kata Hannah.
Beliau ditemui pada majlis menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Sebelum ini, Hannah mengumumkan 15 atlet yang terpilih menyertai program RTG dengan 11 daripadanya adalah menerusi sukan badminton.
ARTIKEL BERKAITAN : Program Road to Gold : Chen Tang Jie, Toh Ee Wei perlu buktikan kemampuan dahulu
Antara atlet yang tersenarai dalam program RTG ialah pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia; dua gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan dua beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Selain pemain badminton, antara atlet yang menyertai senarai berkenaan ialah pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang; Muhammad Shah Firdaus Sahrom (basikal trek), Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri (terjun).