KENTO Momota kembali menjadi tonggak Jepun, bagi menghadapi saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam bermula Selasa, selepas perseorangan lelaki utama mereka, Kodai Naraoka berdepan kecederaan di saat akhir.
Pengarah Teknikal Pasukan Badminton Jepun, Park Joo-bong berkata, Naraoka terpaksa melepaskan aksi di Shah Alam bagi memastikan tidak dihantui kecederaan lebih teruk, untuk ke Paris 2024.
“Kejohanan ini adalah persiapan ke Piala Thomas dan Uber nanti. Malah peluangnya ke Olimpik Paris agak tipis, jadi kita sememangnya mahukan dia berada dalam skuad berpasukan Jepun termasuk ke Piala Thomas,” kata Joo Bong, ditemui pada sesi menguji gelanggang BATC.
Joo-bong berkata, kedua-dua pasukan lelaki dan wanita Jepun, disasarkan sekurang-kurangnya ke separuh akhir, bagi melayakkan mereka ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber, Mei depan.
“Kejohanan ini sebenarnya persiapan Piala Thomas dan Uber. Jadi, kita hanya ada pasukan yang tidak sepenuh kekuatan.
“Kodai Naraoka dan Yugo Kobayashi tidak berada di sini (pasukan lelaki). Untuk wanita pula, Akane Yamaguchi dan Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara juga tiada di sini, mereka akan fokus kepada jelajah Eropah,” katanya.
Dalam pada itu, Joo-bong berkata, BATC juga menjadi peluang buat Momota mengumpul mata menaikkan semula rankingnya.
“Dia (Momota) nak sangat bermain di Kuala Lumpur, tapi ranking dia terlalu rendah, jadi dia tak dapat bermain di Terbuka Malaysia dan India.
“Ketika ini, dia hanya boleh beraksi di kejohanan berstatus Super 300 ke bawah sahaja,” katanya.
Momota mengharungi musim kecederaan yang panjang, semakin kembali ke tahap prestasi terbaik selepas menjuara Korea Masters November tahun lalu.
Hari ini, pasukan bertanding mula menguji gelanggang pertandingan namun kelibat pemain negara tidak muncul biarpun dijadual menjalani latihan rasmi pada jam 4 petang (Ahad).