JERSI final Piala Dunia yang dipakai oleh Lionel Messi merupakan antara koleksi baju Argentina yang akan dilelong dan dijangka melepasi rekod dunia dengan jualan melebihi £8 juta (RM46.7 juta).

Enam baju dari Piala Dunia 2022 di Qatar, di mana Argentina menewaskan Perancis melalui penalti untuk menjuarai trofi akan dilelong sebagai salah satu set oleh Sotheby’s di New York, dengan sebahagian daripada hasilnya akan disumbangkan kepada badan amal.

Bintang Argentina itu memakai jersi tersebut pada separuh masa pertama aksi peringkat kumpulan menentang Arab Saudi dan Mexico, kemudian menentang Australia, Belanda dan Croatia serta final menentang Perancis, dengan anggaran harga sekurang-kurangnya $10 juta (RM46.67 juta). Itu akan menjadikannya rekod untuk ‘koleksi memorabilia sukan’.

Jualan memorabilia yang memecahkan rekod sebelum ini termasuk barangan daripada koleksi Michael Jordan

 

Rekod semasa untuk item memorabilia sukan ialah jersi yang dipakai legenda bola keranjang, Michael Jordan ketika aksi terakhirnya dalam NBA bersama Chicago Bulls pada 1998 dari musim ‘Last Dance’ yang terkenal, yang dijual dengan harga $10.1 juta (RM47.14 juta) pada September tahun lalu di Sotheby’s New York.

Secara perbandingan, memorabilia muzik yang paling mahal adalah gitar Kurt Cobain yang digunakan semasa persembahan MTV Unplugged pada tahun 1993, lima bulan sebelum kematiannya. Gitar itu dijual pada harga £4.2 juta (RM24.49 juta) pada tahun 2020.

Brahm Wachter, ketua koleksi moden Sotheby, berkata: “Piala Dunia FIFA 2022 adalah salah satu acara terhebat dalam sejarah sukan, yang berkait rapat dengan perjalanan kegemilangan Messi dan menetapkan statusnya sebagai pemain terhebat sepanjang masa.

“Penjualan keenam-enam baju ini ini adalah satu peristiwa monumental dalam sejarah lelongan, menawarkan peminat dan kolektor hubungan dengan pencapaian terbesar Messi. Ia adalah satu penghormatan bagi Sotheby’s untuk mempersembahkan dan mempamerkan barang koleksi yang tidak ternilai ini kepada orang ramai, yang merangkumi kecemerlangan pemain yang telah mentakrifkan semula sempadan kecemerlangan bola sepak.”

Salah satu daripada enam jersi Messi yang bakal di lelong.

Rekod semasa untuk salah satu jersi Messi, £360,000 (RM2.1 juta), adalah dari El Clasico 2017, pertembungan antara Real Madrid dan Barcelona di mana dia menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan di Bernabeu.

Walau bagaimanapun, koleksi ini dijangka membawa lebih daripada £7.1 juta (RM41.4 juta) yang dibayar oleh pembida tanpa nama untuk jersi Diego Maradona ‘Hand of God’ dari perlawanan suku akhir Piala Dunia 1986, rekod bagi jersi bola sepak. Ia dijual tahun lalu di Sotheby’s London oleh bekas pemain tengah England, Steve Hodge, yang meminta jersi itu dari Maradona di terowong selepas perlawanan di Mexico City.

Terdahulu, Messi menjaringkan dua gol dalam final di Qatar apabila dia akhirnya memenangi Piala Dunia pada cubaan kelima. Perlawanan seri 3-3 itu dianggap sebagai salah satu perlawanan akhir yang terbaik.

Playmaker itu menjulang trofi di Qatar tahun lalu selepas menewaskan Perancis 4-2 menerusi sepakan penalti

Sotheby’s berkata: Baju itu dibawa ke lelongan oleh syarikat teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, AC Momento, yang selain daripada aplikasi mudah alih mereka untuk peminat sukan, bekerjasama dengan atlet ternama (seperti Messi) untuk membantu menguruskan koleksi memorabilia mereka yang dipakai semasa perlawanan.”

“Sebahagian daripada hasil lelongan akan disumbangkan kepada Projek UNICAS, yang diketuai oleh Hospital Kanak-Kanak Sant Joan de Déu (SJD) Barcelona dengan sokongan Yayasan Leo Messi, untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang menghidap penyakit yang jarang berlaku.”

“Ini adalah lanjutan daripada kerjasama Yayasan Leo Messi dengan Pusat Kanser Pediatrik Hospital Kanak-Kanak SJD Barcelona yang merawat 400 kanak-kanak yang menghidap kanser setiap tahun. Set baju ini akan dipamerkan di Sotheby’s New York dalam pameran awam percuma dari 30 November hingga 14 Disember (tempoh yang sama semasa bidaan dipanggil),” tambahnya.