JENAMA Johor Darul Ta’zim (JDT) kini bukan sahaja terhad kepada pasaran domestik tetapi juga sudah meluaskan kuasanya ke rantau Asia Pasifik menerusi kerjasama strategik mereka dengan pengeluar kit, Nike.
Menerusi kerjasama yang sekian lama terjalin, kini jersi rasmi Harimau Selatan boleh diperolehi di beberapa negara rantau Asia melalui pembelian atas talian di laman sesawang Nike sekaligus meningkatkan lagi nilai komersil kelab Selatan tanah air itu.
Hasil tinjauan FLASH SUKAN, jersi ‘home and away‘ JDT itu kini boleh diperolehi secara atas talian di beberapa negara seperti Filipina, Indonesia, Vietnam, Singapura, India serta Thailand.
Philippines , Singapore , Thailand & Indonesia pic.twitter.com/yrA719YnDI
— j kit (@_j_kit) October 26, 2022
Kekuatan jenama JDT ini selaras dengan kejayaan kelab di dalam dan di luar padang dengan pencapaian menjuarai Kumpulan I seterusnya layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC yang menaikkan nama kelab ini di rantau Asia Pasifik.
JDT sememangnya mempunyai banyak pengikut dan penyokong di rantau Asia Tenggara terutamanya selepas seringkali mencipta sejarah demi sejarah yang jarang berlaku di rantau ini.
Antara kejayaan itu adalah muncul kelab Asia Timur pertama muncul juara Piala AFC pada 2015, pelancaran stadium milik sendiri, Stadium Sultan Ibrahim dan juga mempunyai fasiliti-fasiliti yang bertaraf antarabangsa.
Ianya sekaligus menaikkan minat para peminat bola sepak di Asia untuk mengetahui mengenai JDT dan menerusi kerjasama dengan Nike, jersi rasmi JDT kini lebih mudah diperolehi oleh mereka.
Langkah positif ini adalah contoh terbaik buat semua kelab di Malaysia dan rantau ini bagaimana untuk meningkatkan nilai komersil kelab sekaligus membantu kewangan kelab untuk lebih mapan dan menjadi kelab yang mandiri.