TIDAK dinafikan penyokong kelab bola sepak Selangor adalah antara penyokong paling fanatik dan membuktikan kesetiaan dengan sentiasa berada di belakang pasukan tanpa mengira status dan kedudukan.

Perkara ini dibuktikan apabila jualan jersi ‘away’ terbaharu Selangor FC yang diberi nama Lambang Kebanggaan mendapat sambutan hangat apabila kesemua 500 helai jersi itu habis terjual sama ada di atas talian mahupun secara stor fizikal.

Jersi yang akan dipakai di tempat lawan untuk musim 2024-25 itu mempunyai dua pilihan iaitu elite dan replika di mana jersi elite sesuai dijadikan sebagai koleksi manakala replika pula adalah edisi pemain yang boleh dipakai ke stadium ketika hari perlawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata dia gembira dengan kerjasama bersama Joma yang memasuki tahun kelima dan atas sebab itu mereka bersetuju untuk menghasilkan sesuatu yang istimewa buat para penyokong.

“Alhamdulillah, kita terus bersama Joma untuk musim ini. Jadi, sempena lima tahun bersama Joma, kami bersepakat untuk mengeluarkan koleksi terbaru yang dipanggil Joma Elite, sesuatu yang istimewa untuk semua.

“Jersi pada masa kini bukan sahaja untuk dipakai oleh para pemain di padang dan penyokong semasa hadir ke stadium tetapi boleh juga dijadikan sebagai pakaian harian.

“Oleh itu, kami sebulat suara untuk mengeluarkan jersi ‘Away’ ini pada bulan Ramadan bagi memberi pilihan khas untuk dijadikan sebagai koleksi baju raya bagi para penyokong Gergasi Merah,” katanya.

Hasil pelancaran jersi ini juga, Selangor berjaya meraih jualan sebanyak RM124,500 sekaligus berjaya membantu kewangan kelab dan para penyokong Merah Kuning membuktikan rasa cinta mereka terhadap kelab dengan membeli barangan rasmi kelab.

Untuk rekod, ini kali pertama Selangor FC mengenakan warna kuning sebagai jersi ‘away’ di bawah naungan Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah sejak tahun 2019 selain pernah digunakan sekitar tahun 1980an.