KEPULANGAN Gabriel Jesus bagaikan menandatangani pemain baharu buat pengurus Arsenal, Mikel Arteta.
Pemain Brazil itu kembali dalam kesebelasan utama buat kali pertama di Liga Perdana sejak November tahun lalu dan meledak dua gol ketika menewaskan Leeds United 4-1, awal pagi Ahad.
Bekas penyerang Manchester City itu, yang mengalami kecederaan lutut ketika Piala Dunia, digantikan pada separuh masa kedua dan meninggalkan padang dengan mendapat tepukan gemuruh.
Gol pertamanya dalam tempoh enam bulan membantu Arsenal kembali dengan kelebihan lapan mata ke atas Manchester City dalam perebutan kejuaraan liga ketika berbaki sembilan perlawanan.
Arsenal sedang memburu kejuaraan liga pertama mereka sejak kali terakhir pada 2004.
Masih ada beberapa cabaran yang perlu diharungi dengan skuad Arteta dihantui beberapa masalah kecederaan serta kesihatan tetapi kepulangan Jesus nyata memberikan impak besar.
“Gembira untuknya, termasuk semuanya. Kami semua bertepuk tangan untuknya.
“Dia sudah bekerja keras sejak empat atau lima bulan lalu dengan menerima sokongan daripada pasukan serta kakitangan. Hari ini dia berhak mendapat peluang membarisi kesebelasan utama.
“Dia mengambil peluang itu dengan penuh yakin dan menjaringkan dua gol,” kata Arteta kepada pemberita.
Ben White dan Granit Xhaka masing-masing meledak satu gol sekali gus memberikan kemenangan bermakna untuk Arsenal. -Agensi