JETAMA Sdn Bhd menyalurkan tajaan bernilai RM5 juta sekali gus menjadi penaja rasmi kepada Sabah FC bagi mengharungi kempen Liga Malaysia 2024-2025.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Shahelmey Yahya berkata, Jetama Sdn Bhd akan menggantikan Sawit Kinabalu yang sebelum ini menjadi penaja utama kepada Sabah FC.
Phaknya juga berharap selepas ini beberapa syarikat korporat akan bersedia tampil menyalurkan sumbangan bagi membantu sumber kewangan pasukan untuk musim ini.
“Kita harapkan Sabah FC akan terus fokus dalam menyiapkan sebuah pasukan yang bersiap sedia untuk menghadapi persaingan musim ini sekali gus dapat menunjukkan prestasi terbaik mereka seperti tahun lalu.
“Sebenarnya Jetama pada tahun-tahun sebelumnya juga sering membantu menyalurkan sumbangan kewangan kepada Sabah FC dan SAFA dalam usaha untuk membangunkan prestasi sukan bola sepak di negeri ini,” katanya di sini hari ini.
Shahelmy yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya berkata, selepas ini dia berharap agar lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan bersama-sama membantu meningkatkan pembangunan bola sepak di negeri ini.
“Sumbangan yang disalurkan ini akan mendapat sedikit kelonggaran cukai kepada syarikat tersebut sebagai satu usaha dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
“Kita ucapkan terima kasih kepada anak syarikat Jetama iaitu Jetama Water yang juga menandatangani perjanjian untuk membekalkan air minuman kepada Sabah FC sepanjang musim ini,” jelasnya.
Penajaan berjumlah besar ini pastinya menjadi pemangkin semangat buat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee menjelang aksi pembukaan Liga Super 2024-25 menentang Penang FC di Stadium Likas pada 12 Mei 2024.