SELEPAS kira-kira setahun meyerah nyawa menjalani pembedahan jantung, hingga terpaksa berehat tujuh bulan, ternyata semangat juang Datuk Azizulhasni Awang tidak pernah pudar.
Beliau membuktikan jiwa besarnya tiada tandingan apabila meletakkan dirinya di landasatan tepat ke arah Olimpik Paris 2024, dengan pencapaian cemerlang di Hong Kong.
Azizulhasni yang diberi jolokan ‘The Pocket Rocketman’ membuktikan bisanya apabila membawa pulang empat pingat emas selepas mengungguli acara keirin dan pecut pada kedua-dua siri perlumbaan di Kejohanan Piala Trek Antarabangsa Hong Kong yang berakhir semalam.
Pelumba berusia 35 tahun itu menyifatkan pencapaian di Hong Kong sebagai petanda positif dan berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkannya.
Malah, bintang trek dunia itu turut berbangga dengan kejayaan pelumba muda negara di Hong Kong sekali gus memberi petanda bahawa Malaysia tidak ketandusan bakat baharu di pentas antarabangsa.
“Alhamdulillah penutup yang sempurna hari ini (semalam) apabila saya sekali lagi memenangi pingat emas di dalam acara pecut lelaki. Secara keseluruhan saya mendapat empat pingat emas untuk empat acara dan sudah tentu saya berpuas hati dengan persembahan di sini.
“Tahniah kepada rakan sepasukan saya Fadhil Zonis yang mendapat pingat gangsa selepas menewaskan pelumba dari Kazakhstan dengan kemenangan 2-1.
“Tahniah juga buat pelumba muda negara, Amber Yong yang mendapat pingat emas untuk acara keirin wanita remaja sekali gus melengkapkan tiga pingat emas untuk kategori keirin dan pecut remaja wanita.
“Terima kasih di ucapkan kepada semua yang memberikan sokongan dan doa untuk saya dan rakan sepasukan. Semoga pasukan lumba basikal Malaysia akan terus cemerlang Insyaallah,” katanya.
Azizulhasni yang lebih mudah disapa Jijoe menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung yang jarang ditemui, dikenali arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA) di Hospital Epworth Richmond, Melbourne pada April tahun lalu, sebelum dia kembali beraksi hujung tahun 2022.
Azizulhasni tidak menunggu lama untuk kembali ke trek apabila berjaya meraih perak acara keirin di Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Februari lalu.
Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal trek, John Beasley gembira dengan pencapaian dilakar pelumba negara di Hong Kong yang menepati objektif mereka beraksi di kejohanan berkenaan.
“Kami dapat apa yang kami mahukan dalam tempoh tiga hari mengharungi kejohanan yang sukar. Saya sangat gembira dengan peningkatan yang ditunjukkan pasukan dan selepas ini kami akan kembali ke Malaysia dan terus bekerja keras,” katanya.