“KERAS kepala” mahu menyelesaikan sesuatu misi, mungkin antara sifat yang mendorong Datuk Azizulhasni Awang berada di landasan kejayaan, apabila sifat negatif itu disalurkan kepada tujuan yang positif sehingga jaguh berbasikal trek negara itu, bukan sahaja berjaya meraih emas keirin Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), malah hampir menyumbang pingat dalam acara pecut.

Begitupun, disebabkan faktor kesihatan dan ditegah doktor, akhirnya pelumba dari Dungun, Terengganu itu akur, melepaskan pingat gangsa yang mampu diraihnya.

Pemilik gelaran The Pocket Rocketman itu mengakui, kedegilan sejak kecil membawa sampai ke tua (sekarang) sekali gus tiada pilihan untuk mengalah sebelum berjuang.

Gambar dikongsi Datuk Azizulhasni Awang bersama coretan panjang menjelaskan situasi dirinya berdepan komplikasi jantung.

“Kesakitan itu masih ada, rasa dada ketat, susah untuk bernafas dan tidak selesa, juga sakit di sternum tempat dada saya dipotong dahulu,” katanya, berkongsi isi hati di laman sosial miliknya.

Tambahnya, apabila tidak memberikan pilihan kepada diri sendiri untuk mengalah, satu-satunya pilihan yang ada adalah untuk terus berjuang.

“Jujur saya beritahu yang saya berada di luar zon selesa ketika perlumbaan. Perlumbaan akhir Keirin tempoh hari memang UNBELIEVABLE! (sukar dipercayai). Kalau tanya saya sekarang, saya pun tak tahu dan tak percaya macam mana semua itu boleh berlaku.

“Bagi saya ia adalah berkat doa ibu saya di kampung, juga berkat doa isteri dan anak-anak di rumah serta ahli keluarga yang lain. Mungkin juga rezeki baby (bayi) baru saya dan isteri, Amna Aseeya,” ujarnya yang memutuskan tidak beraksi pada penentuan gangsa pecut semalam di Adelaide kerana kerana mengalami gejala perikarditis selepas perlumbaan separuh akhir.

Datuk Azizulhasni Awang masih mampu memenangi perlumbaan keirin Siri 1 Piala Negara-Negara UCI 2024 di Adelaide, Australia.| Foto John Beasley

Azizulhasni yang kini berusia 36 tahun mengakui dalam kehidupan pasti didatangi dengan pelbagai ujian dan kesusahan.

“Ia terpulang kepada kita untuk mengalah atau terus bangkit melawan. Saya harap semua yang membaca perkongsian ini boleh doakan agar saya sentiasa diberikan kesihatan yang terbaik dan dipermudahkan segalanya untuk ke Olimpik Paris 2024 InsyaAllah,” katanya.

Dalam pada itu, juara dunia 2017 itu mengakui, keputusan berlumba di Adelaide adalah tindakan tidak masuk akal kerana pihak hospital menasihatkannya berehat selama empat hingga enam minggu disebabkan perlu mengambil ubat perikarditis.

“Saya buat kerja gila. Saya ambil risiko sekali lagi demi negara tercinta.

“John, I still want to go to Adelaide and we will see how it goes there,” saya menelefon John Beasley di Malaysia (sebelum kejohanan).

Semalam, Datuk Azizulhasni Awang berkongsi dengan pengikutnya di laman sosial mengapa dia terpaksa menarik diri dari perlawanan penentuan pingat gangsa acara pecut individu, Piala Negara-Negara UCI di Adelaide, Australia.

“Percaturan saya, kalau tak menang pun, sekurang-kurangnya dapat tempat tercorot masih memberikan sedikit mata bagi mengimbangi kutipan mata kelayakan Sukan Olimpik Paris. Janji saya pada isteri, kalau saya terasa sakit yang melampau dan berasa keterlaluan saya akan terus berhenti, tidak kisahlah walaupun ketika perlumbaan.

“Saya juga dinasihatkan oleh pelbagai pihak untuk tidak meneruskan latihan (selepas disahkan menghidap perikarditis) apatah lagi menyertai pertandingan besar seperti Piala Negara-Negara ini. Saya runsing. Tanggungjawab saya untuk negara amat besar.

Kalau tak berlatih nanti prestasi saya akan menurun. Hendak dapat balik (rentak) bukan senang, mahu sembelit dibuatnya. Kalau tak bertanding pula, takut merencatkan mata kelayakkan ke Olimpik. Parah, berhari-hari saya tidur tak lena, mandi tak basah. Nasib baik ada isteri tersayang dan anak-anak yang menjadi penenang ketika resah.”