MASIH segar dengan kejuaraan berganda di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023, Datuk Azizulhasni Awang bertegas, bahawa kejohanan di Veledrom Nasional, Nilai menjadi penyertaan terakhirnya di ACC.

Meskipun ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley mahu The Pocket Rocketman terus menyertai ACC hingga ke tahun depan yang dijangka berlangsung pada Februari di India, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu tetap dengan pendiriannya untuk mengelak dari menyertai kejohanan itu.

“Ini adalah ACC terakhir saya, prestasi terbaik sepanjang zaman… juara, juara, tak mudah untuk dapatan kejuaraan berganda, saya harap mampu kekalkan tahap prestasi sama ke Kejohanan Dunia, kira-kira lima minggu sahaja lagi,” kata Azizulhasni.

Menurutnya, selepas menjalani pembedahan jantung terbuka tahun lalu, dia mengikuti perkembangan rakan sepasukan mengambil bahagian di ACC ke-41 di New Delhi, India menerusi kaca televisyen dan malangnya hampir seluruh pasukan ke India positif Covid-19.

“Saya tak mahu dijangkiti Covid-19, kerana apabila pasukan kita balik dari kejohanan itu tahun lalu, hampir 95 peratus daripada mereka positif, saya tidak mahu ambil risiko itu kerana tempoh ke Olimpik Paris sudah sangat dekat, kira-kira 5 atau 6 bulan sahaja lagi, jika kedudukan ranking saya sudah OK, saya tidak mahu sertainya,” kata Azizulhasni, bimbang peluangnya memburu pingat emas pertama di temasya Olimpik terjejas, sekiranya dijangkiti Covid-19.

Trauma dengan wabak terbabit, Azizulhasni mengakui dia mengharungi detik sukar ketika positif Covid-19 sebelum ini kerana memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga minggu untuk pulih.

“Saya pernah kena (positif) dan ambil masa 2-3 minggu untuk recover malah perlu bermula daripada kosong untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik.

“Biasanya sewaktu badan kita sedang sihat dan cergas inilah cukup sensitif, senang dapat penyakit, senang dijangkiti virus jadi saya tidak mahu mengambil risiko itu.”

Terdahulu, Beasley menceritakan rancangan untuk atletnya memungut mata ke Olimpik Paris dan mengesahkan Azizulhasni akan turut beraksi di ACC2024 di India yang dijangka berlangsung pada Februari tahun hadapan.

Bagaimanapun, The Pocket Rocketman berkata, segala-galanya bergantung kepada kedudukan semasa peluangnya beraksi ke Olimpik 2024: “Sebelum ACC ini, saya berada dalam 10 teratas acara keirin dan selepas kejohanan ini mungkin naik ke kedudukan kelapan atau enam… jika sudah masuk lima teratas saya akan langkau ACC2024.

“Buat masa ini, kedudukan saya dalam acara keirin agak selesa, cuma pecut belum benar-benar selamat tapi kita masih ada Kejohanan Dunia (Ogos) lagi, kalau boleh saya nak langkau sahaja ACC.”

Untuk rekod, hanya Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, 3 hingga 13 Ogos, menjadi saingan terakhir tahun ini buat pelumba basikal trek memungut mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris untuk tahun ini.