PEMBENTUKAN program sepenuh masa bagi hoki 5 sebelah (5s) perlu disegerakan, jika Malaysia benar-benar mahu memastikan dua lagi prospek pingat emas di Sukan Sea ke-33, Bangkok, Thailand, menjadi realiti.

Ini berikutan Persatuan Hoki Thailand mendedahkan bahawa Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand (NOCT) bersetuju memasukkan acara itu ke dalam program 2025.

Berkongsi mengenainya, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal yang mengakui mendapat makluman daripada rakan sejawatnya dari Persatuan Hoki Thailand, Datuk Seri Chaiyapak Siriwat.

Skuad Hoki 5s lelaki negara muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman, baru-baru ini. 

“Alhamdulillah hari ini (semalam) telah dimaklumkan di Bangkok yang hoki 5s akan dipertandingkan di Sukan Sea (2025). Bermakna ada dua lagi peluang untuk meraih pingat emas,” katanya.

Jika menjadi kenyataan, Temasya yang akan dianjurkan di tiga kota iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla, bakal menyaksikan enam pingat emas ditawarkan menerusi sukan hoki, termasuk menerusi hoki padang serta dalam dewan lelaki dan wanita.

Justeru, Subahan menegaskan bahawa KHM akan terus memberi tumpuan kepada acara hoki 5s dan hoki dalam dewan yang pada pandangannya mampu memberi peluang kepada skuad negara untuk muncul juara di mana-mana pertandingan antarabangsa.

Skuad wanita negara menamatkan saingan Piala Dunia Hoki 5s di kedudukan keenam.

Ia terbukti dengan kejayaan skuad hoki 5s lelaki negara yang muncul naib juara pada Piala Dunia 5s di Muscat, Oman selepas tewas 2-5 kepada Belanda pada aksi final.

Susulan hoki 5s negara, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, skuad hoki 5s bakal menerima peruntukan sejumlah RM3.9 juta untuk pembangunan skuad lelaki dan wanita.

“Kami amat berterima kasih atas usaha YB Menteri dan berharap berharap wang itu akan dapat digunakan untuk membentuk skuad hoki 5s yang lebih mantap,” katanya.

Sebelum ini, tanpa program sepenuh masa hoki dalam dewan menyaksikan kontinjen negara di Sukan Sea Kemboja, keciciran dua pingat emas menerusi acara lelaki dan wanita apabila sekadar membawa pulang dua perak.

Sekiranya Temasya 2025 menawarkan dua pingat emas hoki 5s, sudah tentu saingan tiga penjuru antara Malaysia, Thailand dan Indonesia akan berterusan.