PERSEORANGAN wanita negara, Goh Jin Wei mengakui bernasib baik pada perlawanan sulung kumpulan H, Sukan Olimpik Paris, apabila meraih kemenangan pertama ketika dia sudah berada di ambang kekalahan.

Mengakui terlalu gementar beraksi kali pertama di pentas Olimpik, aksi Jin Wei kelihatan janggal dan tidak lancar.

“Saya rasa kemenangan ini dibantu oleh nasib, saya betul-betul tidak sedar dan lupa apa yang berlaku apabila ketinggalan tiga mata.

“Mungkin ini perlawanan pertama dan saya gementar sehingga pergelangan terasa keras,” kata Jin Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), selepas tamat perlawanan.

Berdepan Johanita Scholtz dari Afrika Selatan yang menghuni tangga 103 dunia, tidak menjadi mudah buat Jin Wei, pemain nombor 30 dunia.

Set pertama berlangsung sengit apabila mata dikutip agak rapat sehingga tiba detik mencemaskan apabila pemain negara itu ketinggalan 16-19.

“Saya fikir saya sudah nak kalah dan dalam kepala mahu tumpukan kepada perlawanan kedua.”

Namun Jin Wei sendiri tidak menyangka dia berjaya memungut mata demi mata apabila Johanita melakukan kesilapan, servis keluar dan gagal mengembalikan bola dengan baik sehingga Jin Wei menyamakan kedudukan 19-19.

Goh Jin Wei pernah menewaskan Johanita Scholtz dari Afrika Selatan di Sukan Komanwel 2022.

Selepas itu, Johanita dua kali memegang mata akhir sebelum Jin Wei menutup set pertama dengan keputusan 23-21.

Bertukar gelanggang, Jin Wei mula beroleh keyakinan, memenangi perlawanan 21-11.

Kini Jin Wei dan pemain Korea Selatan, Kim Ga Eun masing-masing memenangi satu perlawanan dan kedua-duanya akan bertemu pada Rabu, untuk menentukan juara kumpulan H.