GOH Jin Wei mengambil masa 10 minit untuk menenangkan diri daripada ditemubual wartawan, selepas tersingkir di pusingan pertama Malaysia Masters pada Rabu.

Tangisan dan esakannya ketika memasuki zon temuramah, di tingkat satu Axiata Arena, membuatkan petugas media tergamam dan tertanya-tanbya mengapa pemain perseorangan wanita professional itu menangis sehingga bersandar pada dinding di zon temuramah.

Bagi menghentikan esakan Jin Wei, jurulatihnya dipanggil untuk menenangkan bekas juara remaja dunia yang kelihatan sangat kecewa apabila tumpas kepada Yvonne Li dari Jerman 17-21, 21-17, 15-21.

Selepas tenang Jin Wei akhirnya bersetuju untuk bertemu wartawan dan menjelaskkan kenapa dia terlampau sedih.

“Saya sedih kerana keadaan saya seperti ini. Saya marah dengan diri sendiri kerana tidak menjaga condition,” katanya, yang membayangkan mungkin tidak beraksi di Terbuka Thailand, kerana kepenatan.

Tambah Jin Wei, biarpun hanya beberapa hari (rehat selepas Piala Sudirman) dia memerlukan pemulihan kecergasan setiap hari.

Tewas kepada Yvonne Li, menyebabkan Goh Jin Wei./Pix BAM

“Jadi saya rasa saya tidak melakukannya (pemulihan kecergasan) dengan baik. Ini kerana saya perlu melakukan fisioterapi di luar (swasta) setiap hari tetapi saya tidak mempunyai khidmat sokongan.

“Bagi seorang pemain elit, kami perlu pergi ke fisioterapi setiap minggu. Saya berharap dapat disenaraikan dalam program Road to Gold (RTG). Walaupun ada kriteria (yang ditetapkan) saya harap dapat disenaraikan, jadi boleh menggunakan fasiliti mereka. Ia sudah pasti akan membantu meningkatkan prestasi saya,” katanya.

Ironinya, ketika memutuskan untuk bergelar pemain profesional dan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain badminton negara bagai tidak memikirkan perkara-perkara yang perlu diuruskan sendiri, namun selepas melihat peluang dalam RTG, tiba-tiba sahaja drama sebegini muncul.