TUAH terpilih mewakili negara dalam acara berpasukan lelaki, tidak disia-siakan Kok Jing Hong apabila pemain berusia 21 tahun itu, menjadi wira meraih mata kemenangan ketika mengatasi Thailand 3-2 di separuh akhir badminton berpasukan lelaki yang berlangsung di Dewan Badminton Techo Morodok.

Jing Hong yang terpilih bagi menggantikan Justin Hoh yang mengalami kecederaan anterior cruciate ligaments (ACL), mengakui tidak menyangka akan menjadi wira pasukan.

Kok Jing Hong meraikan kemenangan ke atas pemain Thailand, Saran Jamsri dan menghadiahkan mata kemenangan buat pasukan lelaki negara.

Pemain di ranking ke-151 dunia itu, tiada masalah menundukkan perseorangan Thailand, Saran Jamsri yang menghuni ranking ke-435 dunia 21-12, 21-13.

“Sebelum turun ke gelanggang, memang rasa tekanan tapi saya hanya mengikut arahan jurulatih dan fokus kepada permainan saya,” kata Jing Hong.

Variasa pukulan Kok Jing Hong berjaya mempedaya Saran Jamsri.

Kemenangan 3-2 ke atas Thailand itu sekali gus membolehkan skuad lelaki negara, membalas dendam setahun lalu ke atas pemain negara Gajah Perang itu.

Begitupun, sebelum Jing Hong turun beraksi, kem Malaysia berdepan detik cemas apabila Thailand berjaya bangkit mengikat kedudukan kepada 2-2.

Liew Xun berpasangan dengan Chia Weijie, melompat tinggi untuk melakukan smash ketika berdepan Ruttanapak Oupthong-Nanthakarn Yordphaisong.

Perseorangan utama negara, Leong Jun Hao dipaksa bekerja keras oleh Sitthikom Tammasin sebelum memenangi pertarungan tiga set 21-13, 18-21, 21-10 untuk menyumbang mata pertama Malaysia.

Pasangan beregu, Goh Boon Zhe-Rayner Beh Chun Meng juga dipaksa bermandi peluh untuk menyumbang mata kedua negara, setelah Berjaya menewaskan Peeratchai Sukphun- Pakkapon Teeraratsakul 21-16, 14-21, 21-15.

Ong Ken Yon tidak berdaya menyaingi Panitchaphon Teeraratsakul.

Hasrat skuad negara untuk menamatkan perlawanan lebih awal bagaimanapun tidak kesampaian apabila perseorangan kedua, Ong Ken Yon tewas 17-21, 15-21 kepada Panitchaphon Teeraratsakul.

Thailand meneruskan kebangkitan dan mengubah kedudukan 2-2, apabila gandingan Ruttanapak Oupthong-Nanthakarn Yordphaisong menang ke atas Chia Weijie-Liew Xun 21-16, 21-14.

Kemenangan itu membolehkan skuad lelaki negara menempah perlawanan akhir menentang Indonesia, selepas pilihan utama mengatasi Singapura 3-1.