PEMAIN berusia 21 tahun dipilih barisan kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) mengisi kekosongan slot ke Sukan SEA Kemboja yang ditinggalkan Justin Hoh akibat mengalami kecederaan tendon Achilles.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Wong Choong Hann berkata, pemain terbabit, Kok Jing Hong dipanggil menggantikan Justin ke Sukan SEA 2023 dan pihaknya yakin dengan kemampuan pemain itu.

Kok Jing Hong, 21, dipanggil menggantikan tempat Justin Hoh ke Sukan Sea Kemboja. Ini menjadi peluang terbaik buat pemain muda negara membuktikan bahawa mereka sudah bersedia beraksi di arena senior antarabangsa.

“Jing Hong menunjukkan prestasi baik dalam latihan. Selain itu, ini adalah peluang buatnya menonjol dan bersinar,” kata Choong Hann.

Pada Selasa, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan bahawa Justin terpaksa menarik diri daripada Sukan SEA Kemboja selepas mengalami kecederaan tendon Achilles.

Sementara itu, Pengarah Prestasi Tinggi (HPD) ABM, Dr Tim Jones mengesahkan pemain terbabit menjalani pembedahan segera di sebuah institusi perubatan swasta.

Dalam masa sama, Choong Hann mengesahkan pihaknya sedang membuat pertimbangan pengganti terbaik kepada Justin, dalam senarai panjang yang telah dikemukakan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum mengesahkan Jing Hong sebagai pengganti sesuai hari ini.