PEMENANG pingat emas golf Sukan SEA Kemboja, Ng Jing Xuen merancang beralih dari pemain amatur ke status professional dalam tempoh dua tahun lagi.

Justeru, pemain golf wanita negara yang berusia 15 tahun itu mahu beraksi di lebih banyak kejohanan luar negara, dalam usaha  bagi meningkatkan prestasinya.

Jing Xuen yang menjadi pemain wanita pertama negara merangkul emas di Sukan Sea berkata, kejohanan di luar negara mempunyai standard yang lebih tinggi dan diyakini mampu untuk memberi pengalaman berbeza.

Bagaimanapun, dia mengambil pendekatan berbeza berbanding pemain golf yang lain yang memilih berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) bagi mengembangkan bakat, kerana Jing Xuen mahu fokus ke negara Asia seperti Thailand, Taiwan dan Jepun.

“Saya berharap dapat sertai lebih banyak kejohanan luar negara seperti di Thailand, Taiwan dan Jepun pada masa akan datang. Kejohanan luar negara membolehkan saya menimba pengalaman dan bersaing dengan pemain lebih berwibawa.

“Kejohanan luar negara juga akan membantu saya melengkapkan sasaran untuk bertukar kepada pemain profesional dalam dua tahun akan datang ketika saya berumur 17 tahun,” katanya, ditemui pemberita pada majlis Meraikan Pasukan Golf Sukan SEA Kemboja di The Mines Resort & Golf Club.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Pada Sukan SEA Kemboja, Jing Xuen mencipta sejarah apabila menjadi pemain golf pertama negara meraih emas dalam acara golf individu wanita di temasya dwi tahunan itu.

Jing Xuen menewaskan pesaingnya yang lebih terkenal, Eila Galitsky dari Thailand dengan memenangi lubang pertama playoff di Kelab Golf Garden City di Phnom Penh, Kemboja.