JIWA sukan yang sebati dalam diri Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak pernah luntur apabila menitipkan doa kejayaan untuk Kontinjen Malaysia ke temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam yang bakal membuka tirai pada 12 Mei ini.
Dalam titah Seri Paduka dalam Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan menerusi siaran televisyen dan radio pada Ahad, Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkeyakinan Jalur Gemilang akan berkibar megah di bumi Vietnam.
“Berbekalkan semangat yang tidak mengenal erti kekalahan justeru, teruskan mengorak langkah mencipta kejayaan memburu kilauan emas demi Malaysia yang tercinta,” titahnya.
Baginda cukup sinonim dengan sifat sopan dalam menyantuni rakyat serta berjiwa sukan dan pernah memegang jawatan utama dalam sukan, antaranya bola sepak, hoki dan juga polo.
Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran 36 pingat emas, 35 perak, dan 75 gangsa pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021 yang bakal berlangsung dari 12 hingga 23 Mei depan.
Atlet negara bakal mengambil bahagian dalam 37 jenis sukan daripada keseluruhan 40 yang dipertandingkan melibatkan 338 acara daripada keseluruhan 526 acara.
Dalam penampilan edisi Sukan SEA Filipina 2019, kontinjen negara menamatkan saingan dengan prestasi hambar apabila sekadar mengutip 56 emas, 57 perak dan 72 gangsa.