BEKAS pengurus pasukan Terengganu FC, Zul Fadli Rozi kembali ke Gong Badak selepas semusim menabur bakti di Kedah Darul Aman FC dengan kali ini disahkan memegang jawatan sebagai Pengarah Sukan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB).

Ura-ura perlantikan ini kuat bertiup selepas Zul Fadli atau lebih mesra di sapa Joe dilihat menghadiri sesi latihan pasukan yang kini dalam persiapan untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia 2024-25 yang bermula pada Mei.

Perkara ini diumumkan menerusi satu hantaran yang dimuat naik laman sosial rasmi kelab pada Selasa sekaligus menyaksikan persiapan yang cukup baik dari skuad Peteh musim ini.

“Terengganu FC ingin mengucapkan tahniah dan selamat datang buat Encik Zul Fadli Bin Rozi yang telah dilantik sebagai Pengarah Sukan Terengganu Football Club Sdn Bhd.

“Beliau akan bertanggungjawab menguruskan urusan berkenaan pasukan di bawah kelab ini termasuk pasukan utama Terengganu FC, Terengganu FC II, Terengganu FC III dan Terengganu FC IV.

“Beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab untuk membantu menyelia pengkomersialan kelab melalui pasukan, serta kerjasama yang boleh diadakan bersama rakan rasmi kelab,” tulis kenyataan media itu.

Joe juga mengucapkan terima kasih atas lantikan ini dan menggambarkan sikap professionalnya dalam bekerja tanpa mengira di mana dan pasukan apa yang diwakili.

“Terima kasih buat semua Ahli Lembaga Pengarah TFCSB atas peluang dan kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tugasan ini. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung sentiasa menjadi prinsip utama dalam kerjaya saya,” jelasnya.

Terengganu kini mendapat perhatian banyak pihak selepas membawa masuk dua ayam tambatan Harimau Malaya ‐ Safawi Rasid dan Akhyar Rashid secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mencetuskan fenomena buat para penyokong untuk menjadi pencabar kejuaraan liga musim ini.