SELEPAS beberapa bulan berehat tanpa kejohanan major, jaguh muda Muay Thai negara Muhammad Johan Ghazali Zulfikar bakal kembali ke gelanggang ONE Championship di Thailand pada 7 Jun ini.
Pejuang muda hangat negara ini yang lebih dikenali dengan gelaran Jojo bakal bertemu dengan lawan yang bukan calang-calangnya, Nguyen Tran Duy Nhat dari Vietnam.
Berdasarkan pengalaman, sudah tentu rekod terarah kepada Nguyen,35, yang dianggap sebagai pejuang senior dengan mencatat pelbagai rekod kemenangan.
Bagaimanapun bagi Jojo, dia tetap menghormati Nguyen sebagai lawan yang penuh pengalaman dan taktikal, namun tahu apa kelebihan atau keistimewaan yang ada dalam dirinya.
View this post on Instagram
“Sudah tentu pengalaman dia (Nguyen) banyak membantunya. Itu saya tidak nafikan. Tetapi dalam masa sama, umur dia adalah kelemahannya kerana bagi saya makin usia meningkat, pergerakan akan lebih perlahan. Dan di sini saya akan gunakan kelebihan saya.
“Saya yakin untuk aksi di ONE Championship kali ini, saya lebih bersedia dengan pelan latihan yang lebih keras dan penuh disiplin. Malah saya juga yakin Nguyen juga akan melakukan persiapan rapi,” jelasnya ketika ditemubual secara eksklusif bersama Flash Sukan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Juara Muay Thai Antarabangsa WBC, Edgar Tabares hanya berdiri 36 saat sebelum KO
Lupakan rekod lama
Menurut Johan yang dibimbing jurulatih Addy Sipangyak, dia tidak mahu terus dibuai kemenangan lalu kerana lebih suka untuk fokus apa yang akan datang.
Johan yang bakal mencecah usia 18 tahun November ini telah diangkat sebagai Bintang Muda Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship selepas melakar rekod rekod kemenangan 5-0 termasuk empat menerusi kiraan knockout (KO) sepanjang saingan musim lalu.
Lebih manis, Johan mencipta sejarah apabila menjadi pejuang Muay Thai termuda berjaya mengikat kontrak bernilai AS$100,000 (RM463,300) bersama ONE Championship.
“Itu sudah pasti satu kejayaan yang baik buat saya untuk terus melangkah ke depan. Muay Thai ini adalah benda yang saya minat. Jadi ia bukan masalah untuk saya terus kekal disiplin dalam menjalani latihan seterusnya berdepan dengan sesiapa sahaja.
“Berdepan dengan Nguyen nanti, tipulah saya cakap tidak ada rasa gementar. Ia adalah perkara normal, tetapi bila dah mula lawan, perasaan itu akan hilang, dan tahu untuk handle,” kongsinya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Johan Ghazali lakar sejarah fighter termuda dapat kontrak ONE Championship bernilai USD100,000
Pengorbanan
Menurut Johan, untuk capai ke tahap ini bukan mudah dan banyak pengorbanan yang harus dilalui.
Usia mudanya tidak seperti remaja-remaja lain yang lebih bebas melakukan rutin sosial harian lebih terbuka.
“Kadang kala saya rasa sedih juga tengok kawan-kawan keluar ke sana sini, tetapi saya fikir Muay Thai adalah minat saya. Setiap hari di gim, ada penat tetapi ini yang saya nak. Muay Thai my passion forever. Everything walaupun ada pro and cons.
“Malah apa yang lebih memberikan saya semangat untuk melakukan lebih baik dalam setiap sudut sama ada ketika sesi latihan mahu pun pertandingan adalah bermula dengan orang-orang terdekat yang terdekat saya.
“Mereka adalah ibu bapa dan keluarga saya, jurulatih dan peminat-peminat saya. Makin ramai yang support, makin tinggi motivasi saya. Setiap kali rasa down, saya akan fikir orang-orang di sekeliling yang ada dengan saya,” jelas Johan yang merupakan anak kedua daripada empat orang adik beradik.
Pesanan ‘simpat ketat’
Kongsi Johan, dia tidak pernah melupakan pesanan daripada ibu (Jennana Johnson) dan jurulatihnya.
“Seperti biasa coach pesan supaya kekal fokus. Hanya dengan kekal fokus sahaja saya boleh konsisten dalam bidang ini.
“Saya sedar, apabila nama dah naik, duit pun banyak masuk, populariti pun meningkat ia semua itu boleh mengganggu saya. Jadi saya faham kenapa coach sentiasa memberi pesanan itu. Saya akan cuba yang terbaik untuk kekal fokus.
“Manakala ibu saya pula akan ulang dan ulang supaya saya jangan besar kepala.
“Saya akan ikut semuanya itu kerana sasaran saya adalah merebut ranking No.1 sekaligus memiliki tali pinggang (acara flyweight),” kongsi Johan.
Foto kredit: Instagram JohanGhazali