SKUAD bola jaring Johor Jewels berjaya muncul juara baharu Netball Super League (NSL) 2022 apabila menundukkan KL Wildcats 50-40 dalam aksi final yang cukup sengit dan mendebarkan di Stadium Juara Bukit Kiara.

Kehadiran Penaung DiRaja Bola Jaring Johor, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam menaikkan lagi semangat para pemain yang menampilkan aksi bertenaga sejak dari awal permainan dengan pada suatu ketika mendahului dengan 12 mata.

An Najwa dan Athekah Ammalia tenang menjaringkan mata demi mata buat Jewels meskipun menghadapi tentangan hebat Intan Balqis yang diturunkan sebagai GK pada final ini.

KL Wildcats yang kelihatan gugup pada peringkat awal berjaya mencabar Jewels terutama pada suku ketiga dengan ketua pasukan, Diyanah Sabadinee cemerlang mendapatkan mata.

Namun Johor Jewels berjaya menyerap tekanan pada suku keempat untuk muncul juara sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan NSL musim ini.

Pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, Selangor Angels diheret hingga saat-saat terakhir oleh Pahang Tulips sebelum menang 69-66 untuk mengulangi pencapaian yang dicapai musim lalu.

Skuad muda Tulips nyata bermain dengan baik namun pengalaman dilihat memisahkan kedua-dua pasukan terutama pada suku keempat untuk mereka berpuas hati mendapat tempat keempat.

Dengan kemenangan ini, Johor Jewels menerima hadiah wang tunai RM20,000 beserta trofi dan medal manakala Wildcats menerima RM10,000 beserta medal sebagai naib juara.

Selangor Angels ketiga mendapat hadiah wang tunai RM7,000 dan medal manakala Pahang Tulips keempat pula menerima hadiah wang tunai RM5,000 beserta medal.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut ditemani Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia, Alwiyah Talib.