PELUMBA elit negara, Muhammad Ridwan Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, masing-masing mempertahan gelaran kebangsaan dalam acara pecut berpasukan, di Veledrom Nasional di Nilai.
Nurul Izzah yang mewakili kedah, bergandingan bersama adiknya Nabilah dan Fitrah Shaari, bagaimanapun diberi tentangan sengit oleh trio Pulau Pinang yang diwakili Nurul Aliana Azizan, Intan Nur Idrisha Abdul Razak dan Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak.
Namun, trio Kedah lebih bertenaga di penghujung kayuhan apabila menamatkan perlumbaan final dengan catatan 52.696 saat (s) menewaskan Pulau Pinang yang mencatat masa 52.886s.
Nurul Izzah yang akan beraksi di Sukan Olimpik Paris, hanya tersenyum selepas memenangi acara pecut berpasukan buat Kedah untuk kali ketiga berturut-turut.
“Sudah tentu saya gembira memenanginya sekali lagi… terutamanya ketika saingan yang bertambah sengit.
“Pulau Pinang menghantar pelumba terbaik mereka dan memberi kesukaran kepada kami. Mujur kami berjaya memintas dan merampas tempat pertama.
“Mereka mempunyai pasukan yang baik dan Umairah sangat memberangsangkan pada usia 16 tahun… dia mampu mempamerkan prestasi setara dengan pelumba elit kebangsaan. Saya pasti banbyak potensi yang ada padanya,” kata Nurul Izzah.
Dalam pada itu, acara pecut berpasukan lelaki menyaksikan Johoryang diketuai Ridwan, Akmal Nazimi Jusena dan Nabil Wafiq Zamri mencatat masa 45.880s menewaskan pasukan dari kelab dari Kuching, Buceros yang membariskan Yusri Shaari, Ahmad Safwan Ahmad Nazeri dan Afiq Huznie Othman yang mencatat masa 47.116s.
Ridwan yang mengakui lega berjaya memimpin pasukannya memenangi kejuaraan berkata: “Sudah tentu sebagai juara bertahan, kami mahu kekalkan kejuaraan.
“Kami cuba melakukan perubahan pada pusingan kelayakan tetapi saya berasa kami perlu lebih pantas di final,” kata Ridwan.
Dalam acara endurans iaitu persuit berpasukan, Terengganu meraih emas menewaskan Johor di final.
Terengganu turut mengungguli persuit berpasukan wanita apabila menewaskan pasukan Kedah.
Dua bintang trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dijangka mengambil bahagian pada acara pecut individu esok.