TIGA pingat emas disasarkan skuad negara pada Kejohanan Tarian Naga dan Singa Asia kali keenam pada 25-30 Oktober ini, meskipun saingan sengit dijangka diterima daripada sembilan negara yang mengambil bahagian.

Setiausaha Agung Persekutuan Tarian Naga dan Singa Malaysia Yong Kheng Chien berkata, skuad kebangsaan menyasarkan untuk muncul juara kategori tarian naga berlampu (eng: luminous), tarian singa akrobatik dan tarian singa tradisional, pada saingan yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru.

“Sebanyak 14 kategori dipertandingkan pada kali ini antaranya tarian singa moden, tarian singa utara dan tarian singa selatan.

“Selain Malaysia, kejohanan kali ini akan disertai lapan lagi negara iaitu China, Taiwan, Macau, Filipina, Vietnam, Indonesia dan Singapura,” katanya pada sidang media.

Lebih menarik, Kheng Chien berkata, penonton boleh membanjiri stadium tanpa dikenakan bayaran.

Dalam pada itu, Kheng Chien menyatakan penghargaan terhadap sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya serta Majlis Olimpik Malaysia dalam membantu mereka menganjurkan kejohanan tersebut.