KEKALAHAN kepada Nguyen Tran Duy Nhat dalam pertarungan One Championship awal bulan ini, memberi input berguna buat jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali yang mampu digunakan untuk beraksi lebih baik selepas ini.

Dia yang terkenal dengan julukan Jojo Ghazali berkata, kekalahan itu membuka lembaran baharu kepadanya yang akan tampil dengan gaya permainan baharu yang lebih segar.

“Lepas perlawanan menentang Nguyen itu, saya sedar dalam apa sahaja kehidupan akan ada menang dan kalah. Yang penting, kita dapat kawal apa yang boleh kita  boleh kawal,” kata Jojo ditemui pada acara Sukan Tempur Kebangsaan.

Menurutnya, pada perlawanan akan datang, penonton akan melihat pembaharuan dan peningkatan kerana telah belajar dari kesilapan.

“Jojo belajar gelanggang yang Jojo lawan hari itu, adalah berbentuk octagon. Berbeza daripada gelanggang ring macam biasa ini. Jadi, sudah pasti, Jojo akan memperbaiki cara untuk kepung dia (lawan), cara untuk perangkapkan dia. Itu adalah beberapa perkara baharulah,” katanya.

Selain itu, Jojo juga memaklumkan akan cuba mengatur sekurang-kurang dua perlawanan lagi sebelum berakhir tahun ini.

“Insya Allah, tahun ini Jojo nak berlawan paling kurang lagi dua kali. Jadi, Insya-Allah bulan September dan bulan Disember. Tapi kalau tak dapat pun, rasanya tiada masalah. Untuk tahun depan pula, Jojo target nak lawan paling kurang lima ke enam kali.

“Tahun ini, bermula agak lambat sebab nak habiskan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), bulan ramadhan dan sebagainya. Jadi, lama juga ‘off’ untuk perlawanan terakhir ini (menentang Nguyen),” katanya.

Jojo Ghazali akur kepada kekalahan pertama di tangan Nguyen Duy Nhat.

Pada 7 Jun lalu, atlet berusia 18 tahun itu gagal mencatat kemenangan ketika menentang petarung dari Vietnam, Duy Nhat dalam perlawanan ONE Championship 167 di Impact Arena, Bangkok, Thailand.

Atlet berpengalaman itu adalah juara WMF Muay Thai sebanyak lima kali hanya berjaya mengatasi wakil Malaysia itu, dengan keputusan juri yang memihak kepada dirinya.

Untuk rekod, kekalahan Jojo itu adalah yang pertamanya dalam kejohanan itu selepas enam pertarungan sejak Februari tahun lalu.