WALAUPUN masih muda, Johan Ghazali menunjukkan potensi yang luar biasa dalam pertarungan terbarunya ketika tewas bermaruah menentang pejuang nombor satu Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat.
Namun, pada perspektif Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong, Johan, atau lebih dikenali sebagai ‘Jojo’, masih muda dan pengalaman yang dimiliki belum cukup banyak.
Aksi yang berlangsung di Impact Arena, Bangkok, itu menyaksikan Jojo berhadapan dengan salah seorang pejuang terkemuka Vietnam dalam kategori Flyweight.
Meskipun tewas, aksi Jojo yang kini mewakili Kelab Muay Thai Rentap di Sarawak amat mengagumkan. Dengan keberanian dan semangat juang yang luar biasa, Jojo berjaya menampilkan pertarungan yang sengit dan menghiburkan sepanjang tiga pusingan.
“Jojo masih muda dan pengalamannya tidak mencukupi. Dalam pertarungan kali ini menentang Vietnam, lawannya adalah Nguyen Tran Duy Nhat. Dia merupakan No 1 dari Vietnam dan mempunyai lebih banyak pengalaman.
“Pada usia 17 tahun, Jojo perlu banyak mengasah kemahirannya,” katanya.
Pada Oktober tahun lalu, Jojo mencipta sejarah apabila menjadi atlet tempur termuda yang memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship. Ini adalah satu pencapaian luar biasa bagi seorang remaja yang baru menceburi arena profesional.
Rekod kemenangan Jojo yang mengagumkan, dengan 5-0 termasuk empat kemenangan menerusi kiraan knockout (KO), telah melayakkannya diangkat sebagai Bintang Muda Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship. Pencapaian ini membuktikan bakat dan dedikasi Jojo dalam sukan Muay Thai.
ARTIKEL BERKAITAN : Jojo terlepas bonus prestasi RM235,332.68
Salah satu pencapaian paling diingati adalah apabila Jojo hanya memerlukan 36 saat untuk menumbangkan juara Muay Thai WBC dari Mexico, Edgar Tabares, pada Disember tahun lalu.
Kemenangan ini menonjolkan kehebatan dan kekuatan Jojo dalam gelanggang, serta menjadi inspirasi kepada ramai atlet muda lain.